Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
6,328 Graduan IPG Sedia Berkhidmat: IPG KPM Ke-14 Raikan Pengiktirafan Guru Berwibawa
Diterbitkan:  Nov 8, 2024 3:50 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Lapan sidang majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (IPG KPM) Ke-14 telah berakhir dengan jayanya. Seramai 6,328 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dirai dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-14 yang bermula pada 3 November lalu.

Graduan yang menamatkan pengajian serta latihan perguruan di 28 kampus IPG termasuk English Language Teaching Centre (ELTC) telah menerima pengiktirafan melalui penganugerahan ijazah, diploma dan sijil. Mereka telah diraikan dalam satu istiadat konvokesyen berpusat berdasarkan sidang dan pengkhususan pengajian tertentu.

Menurut Dr. Mohd Azam Bin Ahmad, Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kementerian Pendidikan, seramai 362 siswa dan siswi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), 97 orang siswa dan siswi Program Tajaan KPM dalam Pendidikan Guru Cemerlang (merangkumi Bahasa Arab, Tahfiz, Bahasa Mandarin, Bahasa Perancis, dan Guru Perkhidmatan Kontrak), serta 427 pelajar Program Diploma Pascasiswazah Perguruan (PDPP) yang ditaja agensi luar telah menyertai institut ini. Data ini jelas menunjukkan bahawa IPGM bukan sahaja berperanan melahirkan guru berkualiti untuk sekolah-sekolah di bawah KPM, tetapi turut dipercayai dan diiktiraf oleh agensi luar untuk menyediakan pendidikan guru bagi calon guru mereka.

Kegembiraan turut dikongsi oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut hadir dalam istiadat untuk menyampaikan skrol kepada para graduan di samping beliau sempat titip nasihat kepada wajah-wajah baru para pendidik.

"Guru-guru ini merupakan tenaga pengajar yang terlatih dan telah bersedia untuk mendidik di lokasi penempatan masing-masing. Komitmen kita adalah memastikan semua anak kita mendapat pendidikan terbaik daripada guru-guru ini," kata Fadhlina kepada pemberita selepas majlis berkenaan di sini.

Tambah Fadlina, kesemua graduan sudahpun terjamin penempatan di sekolah bawah KPM sebelum istiadat berlangsung.

Dua anugerah khas tertinggi disandang oleh Muhammad Asif Mohd Fahmi dan Jasmin Tay Jing Xuan. 

"Mindset saya sewaktu di sekolah nanti adalah bahawa tugas guru bukan hanya mengajar semata-mata, guru perlu terlibat dalam semua aktiviti. Alhamdulillah, saya baru ditempatkan di Sekolah Kepong, dan harapan saya adalah untuk melahirkan lebih ramai murid yang seimbang, bukan hanya cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam pelbagai aspek," kata Muhammad Asif Mohd Fahmi, penerima Anugerah Khas Emas.

"Saya sudah ditempatkan di SJKC Pontian, Johor, sebagai guru subjek Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani. Saya berasa sangat bangga dan bersyukur, tak sangka akan menerima anugerah ini. Terima kasih kepada KPM dan IPGM; tanpa mereka, pencapaian ini tidak mungkin tercapai,” kata Jasmin Tay Jing Xuan, penerima Anugerah Khas Kokurikulum.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua graduan. Selamat menyumbang bakti, mendidik anak bangsa.

#7TerasKPM


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS