KPJ Healthcare Berhad ("KPJ Healthcare" atau "Kumpulan") melancarkan Sistem Kesihatan KPJ yang pertama seumpamanya di Malaysia, sempena hari kedua persidangan Malaysia International Healthcare (“MIH”) Megatrends 2024.
Gambar di atas: [DARI KIRI] Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Pengerusi, Universiti KPJ Healthcare dan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia dan Tan Sri Dato' Sri Dr. Ismail Bin Bakar, Pengerusi, KPJ Healthcare ketika gimik pelancaran Sistem Kesihatan KPJ.
Sistem Kesihatan KPJ ini mengintegrasikan pendidikan dan penyelidikan dalam hospital, menjadikan hospital sebagai pusat pembelajaran dan penerokaan ilmu, di mana amalan dan inovasi bergerak seiring. Inisiatif ini selaras dengan agenda kesihatan negara, menyokong visi jangka panjang Malaysia untuk sistem kesihatan bertaraf dunia.
Majlis pelancaran yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, bersama Pengerusi KPJ Healthcare University (“KPJU”), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (“JCorp”) serta Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dato' Sri Dr. Ismail Bin Bakar.
Dalam ucapan beliau, Datuk Syed Mohamed menyatakan visinya, “Kita perlu menilai dan membentuk semula bagaimana cara penjagaan kesihatan berfungsi. Ia tidak lagi hanya mengenai rawatan semata-mata—hospital perlu berkembang selain berfungsi sebagai pusat rawatan. Mereka harus menerima pakai solusi terkini seperti diagnostik berpandukan AI dan perubatan peribadi, dan beralih fokus kepada penjagaan pencegahan dan kesejahteraan keseluruhan, mewujudkan sistem kesihatan jangka panjang.”
Sistem Kesihatan KPJ ini direka untuk meningkatkan hasil rawatan pesakit, memperkasa pembangunan profesional berterusan bagi penyedia perkhidmatan kesihatan, serta memacu penyelidikan yang inovatif untuk menangani cabaran kesihatan semasa dan masa depan. Langkah ini meletakkan KPJ Healthcare di barisan hadapan inovasi penjagaan kesihatan.
Dengan mengadaptasi teknologi transformasi seperti AI, pengkomputeran kuantum dan nanomedik, KPJ Healthcare menetapkan piawaian baharu untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti di seluruh negara, meningkatkan hasil rawatan pesakit dan melahirkan generasi profesional kesihatan yang mahir. Inisiatif ini menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan akses kepada rawatan canggih, mengurangkan jurang kesihatan, dan menyokong pembangunan pusat rawatan khusus yang mampu merawat kes perubatan kompleks, sekaligus memperkukuhkan infrastruktur kesihatan Malaysia.
Pelancaran Sistem Kesihatan KPJ ini diadakan selepas pelancaran dalaman seminggu sebelum itu, di mana pihak berkepentingan dalaman diperkenalkan kepada visi sistem ini. Sistem Kesihatan KPJ direka bukan sahaja untuk manfaat pesakit dan kakitangan KPJ Healthcare, tetapi juga komuniti yang lebih luas melalui pendekatan kesihatan berasaskan penyelidikan dan fokus pada pendidikan. Dengan mengintegrasikan tiga asas utama—penyembuhan, pengajaran dan penemuan (“to heal, to teach, and to discover”), Kumpulan membuka jalan untuk kemajuan masa depan dalam penjagaan kesihatan yang akan membentuk industri ini untuk masa akan datang.
Sistem Kesihatan KPJ ini menandakan detik penting bagi KPJ Healthcare dalam usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam inovasi penjagaan kesihatan, menggabungkan ketiga-tiga asas utama dengan harmoni. Ini adalah manifestasi slogan KPJ Healthcare iaitu ‘Care for Life’, berkerjasama erat di antara pemegang berkepentingan dan sektor untuk meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.
MIH Megatrends 2024 merupakan acara kesihatan utama negara, dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama KPJ Healthcare dan rakan strategik, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Acara nasional berprestij ini menghimpunkan pemimpin dan profesional kesihatan global untuk meneroka kemajuan terbaharu, berkongsi pengetahuan dan menjalin kerjasama yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti, aksesibiliti dan kelestarian penjagaan kesihatan.
Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare Berhad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.