PUTRAJAYA, 18 Oktober 2024 – Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meneruskan agenda untuk mengangkat martabat rakyat melalui pendigitalan dan inovasi yang dipacu oleh sains dan teknologi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Chang Lih Kang melihat potensi yang amat besar pada tahun 2025 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara inovatif dan progresif bagi menerajui ekonomi rantau Asia.
YB Chang Lih Kang menyatakan, melalui Belanjawan 2025 aktiviti daya cipta dan penggunaan teknologi tempatan dipertingkatkan menerusi bantuan kepada syarikat mula niaga dengan peruntukan RM65 juta kepada Cradle Fund. Program ini bakal meletakkan Malaysia sebagai ekosistem syarikat pemula 20 teratas dunia menjelang 2030, dengan Malaysia sebagai hab penjenamaan ekosistem syarikat pemula serantau. Insiatif yang berkaitan telah dirangka di bawah Pelan Halatuju Ekosistem Syarikat Pemula (SUPER) dan Pelan Tindakan KL20.
YB juga turut berkata, kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan produktiviti dan mewujudkan peluang baharu pertumbuhan ekonomi terus diperkukuhkan. Aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan terus dipacu dengan peningkatan dana kepada RM600 juta ketimbang RM510juta tahun lalu, kepada MOSTI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Dalam hal ini juga, kemampanan pendanaan R&D diperkukuhkan melalui penubuhan Malaysia Science Endowment (MSE) dengan dana 170 juta ringgit. Ia merupakan usaha Kerajaan untuk menggalakkan penyertaan aktif sektor swasta dalam aktiviti R&D, melalui dana padanan bagi projek-projek sains dan teknologi yang berimpak tinggi. Insiatif ini bakal meningkatkan sumbangan sektor swasta dalam perbelanjaan R&D negara sehingga 70% menjelang tahun 2030.
YB juga berkata, usaha Kerajaan Perpaduan dalam “Meningkatkan Siling” untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau, turut diimbangi oleh inisiatif “Menaikkan Lantai”. Ini dengan memastikan sains, teknologi dan inovasi menjangkau ke peringkat akar umbi khususnya belia, murid sekolah dan pelajar institusi pendidikan tinggi. Program Malaysia Techlympics terus diperhebat dengan peruntukan RM10 juta sebagai dorongan anak tempatan menjadi pakar bidang robotik dan teknologi kepintaran buatan.
MOSTI terus optimis untuk membawa agenda “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi” untuk membawa Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi dengan manfaat kepada semua rakyat.
Kandungan ini disediakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].