Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Meluaskan Skop Percukaian SSB: Pendekatan 'Perang Melawan Gula' untuk Membanteras Penggunaan Gula di Malaysia
Diterbitkan:  Oct 17, 2024 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Cadangan untuk mengeluarkan gula daripada senarai barangan harga terkawal dan meluaskan skop percukaian Minuman Manis Gula (SSB) melalui Bajet 2025 adalah langkah yang tepat pada masanya dan berkesan untuk menangani krisis kesihatan awam penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat di Malaysia.

Seperti yang diketengahkan oleh Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial di ASTRO Awani baru-baru ini, pendekatan semasa menaikkan cukai SSB tidak mencukupi untuk membendung pengambilan minuman manis, malah seterusnya menyatakan bahawa susu pekat manis yang digunakan di restoran dan kedai makan juga harus disenaraikan dalam skop percukaian baru.

Adalah diketahui umum bahawa pengambilan minuman bergula oleh pengguna di Malaysia tidak seharusnya hanya diukur dari segi air berkarbonat atau minuman dalam tin sedangkan ia sebenarnya adalah minuman yang dibancuh di restoran dan kedai makan seperti teh tarik, kopi ais, sirap bandung, jus buah yang ditambah dengan air gula dan sebagainya.

Pengambilan gula melalui minuman yang dibancuh terutama di gerai 'mamak' di tepi jalan adalah jauh lebih tinggi berbanding minuman dalam tin yang keluar dari kilang, justeru sukar untuk diadakan sebarang kawalan.

Kawalan berterusan harga gula melalui subsidi bukan sahaja seolah menggalakkan penggunaan minuman bergula tetapi juga telah membebankan kewangan awam dengan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi gula (dianggarkan melebihi RM600 juta setahun) yang sepatutnya disalurkan kepada perkhidmatan kesihatan asas, termasuk rawatan NCD. 

Ini amat membimbangkan memandangkan adanya peningkatan kos yang berkaitan dengan pengurusan penyakit seperti kencing manis, penyakit kardiovaskular, tekanan darah tinggi, penyakit buah pinggang dan juga kanser.

Rawatan untuk kencing manis dan penyakit kardio-renal metabolik lain seperti penyakit buah pinggang menelan belanja lebih RM3 bilion setahun. Justeru, penarikan subsidi gula kepada pengeluar disifatkan sebagai tindakan munasabah selaras dengan konsep 'perang melawan gula'.

Selama ini, kerajaan telah membelanjakan hasil cukai SSB berjumlah RM330 juta sebagai sebahagian daripada subsidi kepada pengeluar gula sambil membelanjakan lebih banyak wang untuk memastikan harga gula kekal murah.

Satu-satunya cara untuk memastikan 'perang melawan gula' seperti yang diisytiharkan baru-baru ini berkesan dan berjaya, adalah untuk kerajaan menghapuskan gula sebagai bahan kawalan.

Subsidi gula pada mulanya sepatutnya dimansuhkan pada Oktober 2013. Namun, disebabkan harga gula terus dikawal dan tidak ditentukan oleh pasaran konsumer, kerajaan terpaksa memberi subsidi kepada pengeluar gula mulai November 2023 dengan jumlah subsidi yang ditanggung awam sebanyak RM1.00 sekilogram untuk gula mentah dan gula halus yang berjumlah kira-kira RM42 juta sebulan.

Pada masa ini, gula masih tersenarai sebagai salah satu barang keperluan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Keuntungan 2011, menjadikan perang melawan gula amat sukar.

Mengeluarkan gula daripada senarai barangan harga terkawal akan mempunyai beberapa kelebihan termasuk membenarkan harga gula ditentukan oleh kuasa pasaran sekaligus menggalakkan sistem pengeluaran dan pengedaran yang lebih cekap, yang berpotensi membawa kepada penurunan harga untuk konsumer dalam jangka masa panjang. Ini juga dapat mengurangkan peranan yang dimainkan oleh kerajaan dalam pasaran gula serta mampu mengalir penggunaan sumber untuk keutamaan lain.

Hasil yang dijana daripada cukai SSB perlu diperuntukkan terus kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyokong rawatan NCD.

Walaupun sistem percukaian dan kawalan harga boleh menjadi alat yang berkesan untuk menghalang penggunaan gula, adalah penting untuk menangani faktor asas yang menyumbang kepada NCD, bermula dengan menggalakkan konsumer di Malaysia untuk menikmati minuman kurang manis yang dipesan dari kedai makan. Ini mesti dilakukan secara berterusan melalui pendidikan serta kempen kesihatan awam.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS