Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Tujuh Syarikat Tempatan Dinobat Pemenang MYHackathon 2024 Kohort 1
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 10:16 AM
Dikemaskini: 2:16 AM

KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2024 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensinya, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), hari ini mengumumkan senarai tujuh (7) pemenang bagi Program MYHackathon 2024 Kohort 1. Pengumuman tersebut dibuat semasa majlis perasmian penutupan program itu yang diadakan di AICB Centre of Excellence (ACE), Kuala Lumpur.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, yang mana pemenang kohort 1 ini bakal menerima geran bersyarat bernilai sehingga RM250,000 untuk melaksanakan pembangunan projek rintis serta akses kepada bimbingan pelaksanaan projek secara one-to-one untuk tempoh 12 bulan akan datang. Kesemua pemenang juga bakal bekerja secara rapat dengan pemilik pernyataan masalah bagi memperhalusi rancangan pelaksanaan solusi mereka.

Dalam ucaptama beliau, YB Tuan Chang menyatakan, “MYHackathon bukan hanya platform untuk menguji kebolehan, tetapi juga medan strategik untuk mencungkil bakat baharu dan menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran yang dihadapi oleh Kerajaan serta agensi-agensi berkaitan. Saya amat kagum dengan kualiti penyelesaian yang diketengahkan oleh para peserta. Idea-idea ini bukan sahaja praktikal, tetapi juga inovatif, selari dengan iltizam Malaysia untuk menjadi peneraju ekonomi Asia dan visi ekonomi MADANI. Ini bertepatan dengan usaha memperkukuh pembangunan bakat dan memperkasa ekosistem Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara.”

“Program MYHackathon 2024 secara langsung menyokong aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan nilai-nilai pembaharuan dan daya cipta dalam mencapai pembangunan yang berpaksikan rakyat. Saya yakin beberapa penyelesaian ini berpotensi untuk dikomersialkan dan diperluaskan pada skala yang lebih besar di masa hadapan,” tambah YB Tuan Chang.

Dilancarkan pada 23 September 2024 dengan tema ‘Hackathon Nasional Untuk Malaysia MADANI’, Program MYHackathon 2024 Kohort 1 mengetengahkan tujuh(7) pernyataan masalah yang dikemukakan oleh beberapa Kementerian dan agensi Kerajaan. Program ini telah berjaya menarik lebih 500 penyertaan daripada kumpulan serta syarikat berdaftar daripada seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Kesemua peserta telah menjalani sesi bootcamp selama dua minggu dan sesi pementoran secara one-to-one daripada mentor bertaraf dunia sebelum 21 finalis dipilih bagi sesi penyampaian ‘Demo Akhir’ yang berlangsung di Auditorium Azman Hashim, ACE Conference Centre, Kuala Lumpur hari ini.

“Program MYHackathon memberikan peluang kepada bakat teknologi di Malaysia untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai cabaran negara melalui pendekatan yang kreatif dan inovatif, selaras dengan tujuan utama program ini iaitu untuk memacu proses transformasi dan mengadaptasi pendigitalan dalam perkhidmatan Kerajaan di Malaysia,” ujar Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle.

“Cradle selaku agensi pelaksana bagi Program MYHackathon 2024 percaya inisiatif seperti ini mampu membawa agenda pembangunan inovasi negara ke peringkat yang lebih tinggi dengan memperkukuh kerjasama rentas Kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan dengan ekosistem teknologi di negara ini, sekali gus meningkatkan infrastruktur digital dan sistem tadbir urus yang mengutamakan rakyat.”

Sejak dilancarkan pada tahun 2020, Program MYHackathon yang diadakan pada setiap dua tahun telah berjaya mencungkil bakat-bakat baharu yang luar biasa dalam kalangan rakyat Malaysia serta menjadi platform untuk memupuk semangat kerjasama, keusahawanan, dan pemikiran kritis dalam kalangan peserta.

Antara solusi-solusi yang telah berjaya dihasilkan di bawah program ini ialah seperti ARTEMIS Robot daripada A2Tech Sdn Bhd yang membangunkan produk teknologi robotik dengan integrasi Kecerdasan Buatan (AI) untuk kegunaan aktiviti early reconnaissance Operasi Mencari & Menyelamat (SAR) dan projek Anti Drone Detection System (DDS) daripada FlyBots Technology yang mengetengahkan solusi pengawalan pencerobohan dron bagi tujuan penyeludupan atau tinjauan tidak sah ke kawasan akses terhad.


Kandungan ini disediakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS