Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Vaksinasi Tahunan Melindungi Golongan Warga Emas Berisiko Tinggi Dari Influenza
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 10:00 AM
Dikemaskini: 2:59 AM

Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2030, iaitu 15 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 60 tahun ke atas.¹ Ini susulan kesan daripada peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran.

Sempena Hari Warga Emas Sedunia yang disambut pada 1 Oktober setiap tahun, marilah kita bersama-sama menghargai dan memberi penghormatan kepada golongan warga emas. Pada masa yang sama, golongan warga emas juga digalakkan untuk mengambil vaksin influenza tahunan, terutama sekali menjelang musim cuti hujung tahun semakin hampir, ditambah lagi dengan sambutan perayaan berturut-turut pada awal bulan 2025 yang boleh mengakibatkan peningkatan kes influenza.

Dalam temubual ini, Dr. Rizah Mazzuin Razali, Pakar Geriatrik, Hospital Kuala Lumpur akan berkongsi pandangan beliau mengenai kesan influenza, kepentingan vaksin influenza untuk golongan warga emas serta nasihat untuk mencegah penularannya.

Kenapa Vaksin Influenza Tahunan Penting Untuk Warga Emas
“Semakin kita berusia, sistem imun badan juga akan berubah, menjadikan kita lebih terdedah kepada penyakit. Vaksin influenza tahunan merupakan cara yang terbaik untuk mengurangkan risiko menghidap influenza teruk dan membantu mencegah kesan yang lebih serius dalam kalangan warga emas,” kata Dr. Rizah Mazzuin.

“Selesema dan influenza sering disalah anggap sebagai penyakit yang sama kerana kedua-duanya melibatkan jangkitan saluran pernafasan, tetapi terdapat beberapa perbezaan penting. Selesema biasanya menyebabkan gejala yang lebih ringan seperti hidung berair, bersin, dan sakit tekak, manakala influenza cenderung menyebabkan gejala yang lebih teruk seperti demam tinggi, sakit otot, keletihan, dan batuk kering. Influenza juga boleh membawa kepada komplikasi serius seperti strok, serangan jantung, jangkitan paru-paru, terutama bagi golongan berisiko tinggi seperti warga tua dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik,” kata beliau. 

Berbeza dengan selesema biasa, influenza sering berlaku sepanjang tahun dan lebih berjangkit, memerlukan vaksin tahunan sebagai langkah pencegahan. Walaupun vaksin tidak menjamin imuniti sepenuhnya, ia dapat membantu mengelakkan penyakit yang berlarutan.

Bagaimana Influenza Memberi Tekanan Terhadap Jantung Anda
Kajian menunjukkan bahawa influenza boleh meningkatkan risiko trombosis—iaitu pembekuan darah di dalam saluran darah dan jantung—yang boleh menyebabkan serangan jantung. Ini boleh memberi kesan besar kepada kualiti hidup dan meningkatkan risiko kematian.

Warga emas yang berumur 65 tahun ke atas merangkumi sehingga 70 peratus daripada kemasukan ke hospital dan 85 peratus daripada kematian yang berkaitan dengan influenza. Kos kemasukan ke hospital juga adalah tinggi, menambah lagi beban kewangan bagi mereka yang terjejas. 

Tambahan, risiko kematian berkaitan influenza didapati meningkat dengan kehadiran lebih daripada satu penyakit tidak berjangkit (NCD), yang merupakan kebiasaan dalam kalangan warga emas. 

Manakala, risiko kematian berkaitan influenza meningkat sebanyak 20 kali ganda bagi mereka yang mempunyai penyakit jantung dan paru-paru, lima kali ganda bagi mereka yang mempunyai penyakit jantung dan tiga kali ganda bagi mereka yang mempunyai penyakit kencing manis.

Virus Influenza Terbahagi Kepada 4 Jenis Utama iaitu:

1) Influenza A adalah virus paling berbahaya kerana ia merupakan satu-satunya jenis Influenza yang mampu membawa wabak kepada negara. Influenza A boleh berjangkit kepada manusia dan juga haiwan.

Setakat ini, terdapat 18 subjenis HA dan 11 subjenis NA. Contoh subjenis yang kerap tersebar antara manusia ialah H1N1 dan H3N2 (juga didapati dalam kalangan anjing). 

2) Jenis Influenza B hanya berjangkit kepada manusia sahaja, dan tidak mengakibatkan pandemik. Walaupun jangkitan Influenza B tidak seteruk Influenza A, ia masih boleh membawa gejala yang serius terutamanya kepada warga emas.

3) Influenza C adalah jenis virus influenza yang paling ringan. Jangkitan influenza ini jarang dapat dikesan kerana kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom. 

4) Jenis virus Influenza D setakat ini hanya berjangkit kepada haiwan terutamanya lembu, babi serta biri-biri.

Menangani Tanggapan bahawa Vaksin Tidak Berkesan
“Salah satu tanggapan biasa warga emas tentang vaksin influenza adalah mereka percaya bahawa vaksin ini tidak perlu atau tidak berkesan kerana mereka jarang jatuh sakit atau sudah mempunyai imuniti yang kuat. Sesetengah warga emas juga bimbang tentang kesan sampingan vaksin, atau menganggap bahawa vaksin tersebut boleh menyebabkan mereka jatuh sakit,” kata Dr. Rizah. 

Tanggapan ini boleh diatasi dengan memberikan maklumat yang tepat melalui kempen kesedaran, termasuk menekankan bahawa vaksin influenza adalah penting untuk melindungi golongan berisiko tinggi daripada komplikasi serius. Menjelaskan bahawa vaksin tidak menyebabkan penyakit, tetapi membantu badan melawan virus dengan lebih baik, juga boleh membantu mengubah persepsi ini.

Tambahan pula, vaksin influenza mempunya rekod keselamatan yang telah terbukti selama hampir 80 tahun, dan berjuta-juta orang telah menerimanya.²

Cara Influenza Merebak
Virus influenza menular melalui titisan atau lendir yang tersebar ke udara apabila anda bersin, batuk, atau bercakap. Titisan ini boleh berjangkit kepada individu lain yang berada dalam jarak lebih kurang 1 meter (bersamaan 6 kaki) daripada anda, melalui mata, hidung, atau mulut. 

Anda juga boleh terjangkit apabila bersentuhan dengan permukaan atau objek yang telah tercemar dengan virus influenza.“Selain vaksinasi, menjaga kebersihan dengan baik, mengelakkan kontak rapat dengan individu yang sakit, dan memastikan tubuh kekal terhidrat adalah langkah-langkah penting untuk mengurangkan risiko jangkitan influenza. Walau bagaimanapun, vaksin influenza tetap merupakan langkah yang paling berkesan untuk mencegah penyakit yang serius,” kata Dr. Rizah.

Vaksinasi influenza hendaklah diutamakan setiap tahun bagi golongan orang yang berumur, terutamanya yang menghidap penyakit kronik dan ia boleh didapati di kebanyakan klinik swasta dan beberapa hospital kerajaan di Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai influenza dan vaksinasi influenza, layari http://www.actoflove.ifl.my/ms/warga-emas/.

References:
¹ Department of Statistics Malaysia. Current Population Estimates: Malaysia 2023. https://dosm.gov.my/uploads/release-content/file_20230731104710.pdf Accessed June 2024.

² Medical News Today. Is the flu shot safe? https://www.medicalnewstoday.com/articles/312469. Accessed June 2024.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS