Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Suara Rakyat di Apps MYJalan KKR
Diterbitkan:  Aug 26, 2024 11:00 AM
Dikemaskini: 3:00 AM

Setahun lalu apps MYJalan diperkenalkan dan Kempen MYJalan dilancarkan. Matlamatnya jelas! Menyediakan satu platform di mana semua rakyat terangkum dan bersama terlibat dalam menjadikan jalan raya kita selamat dan selesa.

Apps yang boleh dibawa ke mana-mana dan mudah digunakan membolehkan pengguna terus melaporkan aduan bila terjumpa jalan berlubang, jalan rosak, lampu trafik dan lampu jalan tidak berfungsi, tanda jalan yang lusuh serta jalan terhalang disebabkan banjir dan tanah runtuh.

Sebelum ini memang telah ada saluran melaporkan aduan. Tetapi ianya bersifat umum. Sistem Pengurusan Aduan Awam atau SisPAA melonggokkan semua jenis aduan orang ramai. Penyaringan setiap aduan dibuat dalam masa tiga hari sebelum disalurkan kepada agensi yang bertanggungjawab. Kurang efisien dalam zaman ledakan teknologi dan pendigitalan sekarang ini.

Semasa proses penyaringan dan penyaluran aduan itu berbagai perkara boleh berlaku. Kemalangan disebabkan lampu trafik tidak berfungsi. Kehilangan jiwa akibat jalan berlubang. Kita harus tahu jalan daif bukan seperti tandas daif atau klinik daif. Jalan daif boleh melibatkan kerugian harta mahupun kehilangan nyawa.

24 Ogos 2024 genaplah setahun umur apps MYJalan. Bagaimana sambutan dan reaksi rakyat terutamanya pengguna jalan raya? Maklumat dari Kementerian Kerja Raya (KKR) menunjukkan bilangan muatturun dan telah mendaftar hanyalah 26,616. Bilangan ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan jumlah kenderaan berdaftar yang melebihi 4 juta.

Jumlah aduan yang diterima sehingga 31 Julai pula sekitar 17,575 iaitu 66% dari yang mendaftar atau 0.05% dari keseluruhan populasi Malaysia. Apakah aduan yang diterima itu menggambarkan kualiti jalan kita sudah memuaskan? Atau masyarakat pengguna di Malaysia ini memang tak ambil pot untuk membuat aduan?

Apapun alasan, jalan raya kita, sama-samalah kita yang jaga. Betul tak? Mungkin ada netizen yang enggan membuat aduan. Sebaliknya menyerahkan kepada jurutera dan kakitangan JKR mencari dan memantau jalan rosak, jalan berlubang, lampu jalan dan lampu trafik tidak berfungsi dan bermacam lagi masalah jalanraya.

Sikap ini akan melambatkan proses penyenggaraan dan boleh mengganggu serta membahayakan pemanduan. Akhirnya merugikan semua pihak. Sedangkan yang menggunakan dan menghadapi masalah dan bahaya adalah kita juga. Yang memandu dan dipandu, yang menunggang mahupun pengguna jalan raya yang berjalan kaki dan menaiki kenderaan awam.

Tidak salah kita membantu membuat aduan? Jalan akan dibaiki lebih cepat. Kita juga yang untung. Itulah semangat patriotisma, semangat kekitaan yang harus ada di semua anak bangsa demi kebaikan negara dan rakyat. Lebih-lebih lagi saat kita menyambut Hari Kemendekaan ke 67 dengan jiwa yang benar-benar Merdeka!

Ditambah pula, apps ini sangat mudah digunakan . Di mana sahaja aduan boleh dibuat. Pilih satu dari kategori aduan, pinkan lokasi menerusi GPS, klik seterusnya, aduan anda telah dihantar semudah ABC. Anda tidak perlu risau jalan itu milik siapa. Admin MYJalan akan tentukan dan salurkan kepada agensi berkaitan.

Susah? Tunggu! Apps ini pasti akan ditambahbaik untuk memiliki ciri-ciri dan antaramuka yang anda nantikan satu hari nanti. Tidak mustahil apps ini akan menjadi super-apps yang diintegrasi dengan apps navigasi seperti Waze atau Google Map, Voice-Activated, maklumat jalan/selekoh bahaya, halangan yang disebabkan tanah runtuh dan sebagainya.

Anda lah yang menentukan halatuju, hidup mati apps ini. Lebih banyak muatturun, lebih banyak digunakan, maka lebih wajar untuk dipertingkatkan.

Tiga cabaran yang perlu ditangani oleh KKR. Pertama merakyatkan apps ini untuk menjadi pendamping kepada semua pengguna jalan raya. Ini harus dilakukan melalui program promosi dan advokasi yang berterusan samada di atas talian, di bawah talian dan di dalam talian dengan mendekati pengguna secara lebih dekat dan mesra.

Cabaran kedua ialah meningkatkan keberkesanan penyenggaraan jalan samada melalui pemantauan mahupun aduan. Ini harus dapat dilihat oleh pengguna terutama orang yang membuat aduan. Work has to be seen done. Ciri ‘Status’ dalam apps ini membolehkan si pengadu memantau aduannya.

Cabaran terakhir ialah menjadikan MYJalan sebagai apps de-facto untuk semua agensi yang menguruskan jalan raya di Malaysia. Seharusnya Satu Kerajaan Satu Apps/Sistem. Kenapa harus banyak apps dan sistem? Lebih memalukan apabila apps dan sistem itu saling ‘tidak bercakap’ dan disepadukan antara satu dengan lain.

Kita yakin data yang terkumpul dalam MYJalan dapat dicerakin untuk membantu KKR dalam membuat justifikasi ketika memohon bajet dari Kerajaan. Data yang sama juga boleh dijadikan alat analitik dan prediktif untuk mengunjur masalah yang bakal berlaku atau kerja penyenggaraan berkala yang perlu dibuat sebelum bencana melanda.

Di samping itu, data tersebut juga boleh memberikan petunjuk kepada jabatan, konsesi dan kontraktor yang benar-benar berprestasi baik atau sebaliknya.

Justru visi Menteri KKR untuk menjadikan MyJalan sebagai suara rakyat mesti direalisasikan oleh semua pihak. MYJalan boleh menjadi alat proaktif KKR dalam memastikan setiap laporan ditangani dengan efisien. Hasilnya, ribuan isu jalan raya boleh diselesaikan dengan cepat mengikut tahap perkhidmatan pengguna yang cemerlang.

Ini penting dalam menjadikan jalan raya kita lebih selamat dan selesa untuk semua. Ini bukan sekadar kejayaan MYJalan, tetapi kejayaan kita semua, rakyat Malaysia, yang bersama-sama memainkan peranan dalam memperkasa dan memperbaiki sistem jalan raya negara.

MyJalan telah berkembang melangkaui sekadar sebuah aplikasi pelaporan. Ia akan menjadi simbol kerjasama dan keprihatinan rakyat Malaysia secara kolektif dalam menentukan keselamatan, aksesibiliti, mobiliti, keselesaan dan ketersambungan rangkaian jalan raya Malaysia.

MyJalan bukan hanya sebuah apps. Ia adalah platform suara rakyat untuk didengar dan tindakan diambil. Setahun bersama MyJalan adalah permulaan. Masa depan yang lebih baik sedang menanti sektor infrastruktur negara melalui penglibatan kita semua!


Kandungan ini ditulis oleh Wai Tee.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS