Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
McDonald’s Malaysia meneruskan usaha membantu mangsa banjir di Terengganu
Diterbitkan:  Dec 8, 2023 3:43 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Kehidupan masyarakat tempatan terganggu apabila musibah banjir melanda Pantai Timur semenanjung susulan ketibaan Monsun Timur Laut dengan fenomena hujan lebat. Terengganu merupakan negeri yang paling terjejas setakat ini dan pelbagai bantuan telahpun disalurkan kepada mangsa banjir yang terlibat. 

Kuala Nerus merupakan daerah pertama di Terengganu yang dilanda banjir pada musim Monsun Timur Laut kali ini. Ini disusuli Kuala Terengganu dengan melibatkan Taman Permai Murni, Gong Badak, Jalan Kamaruddin, Jalan Pusara, Batu Buruk, Taman Dahlia, Taman Alamanda 1, 2 dan 3, Kuala Ibai dan Losong.

Misi bantuan banjir bagi kawasan tumpuan

Menjunjung semangat tolong-menolong, McDonald’s Malaysia melalui Program Komuniti McDonald’s dan RMHC menunaikan amalan kemasyarakatan dengan bantuan keperluan harian kepada mangsa banjir di pelbagai lokasi terutamanya Daerah Kuala Terengganu dan Daerah Kuala Nerus. 

Pasukan sukarela McDonald’s Malaysia di Terengganu turun padang membantu meringankan beban mangsa banjir dengan sumbangan kotak amal yang mengandungi beberapa keperluan khas termasuk pek-pek makanan dan minuman. 

Selain mangsa banjir, sukarelawan tempatan dan asing serta petugas seperti anggota RELA dan polis turut menerima sumbangan berkenaan.

Kerjasama dengan pelbagai unit bantuan tempatan

Sumbangan tersebut yang disampaikan dengan bantuan kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Nerus memanfaatkan hampir 200 keluarga yang terjejas. Inisiatif ini disempurnakan dengan koordinasi daripada pusat-pusat pemindahan sementara yang telah beroperasi sejak banjir melanda. 

Antaranya ialah Pusat Pemindahan Dewan Gong Datok, Dewan Alor Damat Bukit Rakit, Masjid Padang Hangus dan Sekolah Kebangsaan Atas Tol, di mana sumbangan tersebut diagihkan. 

Memupuk amalan kemasyarakatan

Beberapa video berkenaan amalan kemasyarakatan ini kelihatan tular di media sosial dan mendapat respon yang positif daripada warga net. Mereka rata-ratanya berharap supaya McDonald’s Malaysia dapat meneruskan usaha murni ini walaupun sedang berhadapan dengan tempias isu boikot. 

Keprihatinan McDonald’s Malaysia turut menerima penghargaan daripada pihak Majlis Pengurusan Kampung-Kampung (MPPK) dan warga komuniti yang terjejas menzahirkan kesyukuran dan terima kasih kepada yang prihatin terhadap nasib mereka, termasuklah McDonald’s Malaysia yang turut menghulurkan bantuan. 

Penduduk kawasan berisiko banjir digesa ambil langkah sewajarnya

Sebagai peringatan, selain mematuhi arahan pihak berkuasa semasa berlaku banjir, orang awam di kawasan berisiko tinggi dinasihatkan supaya peka dan buat persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan. 

Info terkini berkenaan notifikasi aras air dan hujan boleh diakses di laman web rasmi PUBLIC INFOBANJIR, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS