Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
"Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan" Fokus Utama Sambutan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2023
Diterbitkan:  Oct 19, 2023 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

KUALA LUMPUR, 19 OKTOBER 2023 – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Haji Mohamad Sabu hari ini merasmikan Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2023 yang akan disambut pada 10 hingga 12 November ini di Ipoh, Perak dan akan disempurnakan perasmiannya oleh YAB Perdana Menteri.

Menurut Mohamad, HPPNK merupakan signature event KPKM, di mana pada setiap tahun sambutan HPPNK diadakan sebagai tanda Kerajaan menghargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang menjadi penyumbang utama keterjaminan makanan negara.

Sambutan Hari Peladang yang pertama telah diadakan pada 6 Ogos 1975 di Pekarangan Bangunan Parlimen dan dirasmikan oleh Allahyarham Tun Hj. Abdul Razak Hussin, Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-2. HPPNK merupakan salah satu platform kepada peladang, penternak dan nelayan untuk bersua muka, mengembangkan jaringan komunikasi antara satu sama lain serta membuka potensi strategik kepada prospek perniagaan sepanjang tiga hari ianya berlangsung. Kali terakhir HPPNK ini diadakan adalah pada tahun 2019.

Sesuai dengan tema Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan dan usaha memperkasa masyarakat peladang, penternak dan nelayan, fokus penyampaian sambutan kali ini akan mengupas aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi sektor pertanian yang diterjemah melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0). Di samping itu pengunjung juga akan dapat menikmati sendiri pengalaman pertanian secara praktikal seperti simulasi combine harvester simulation yang memberi ruang dan peluang untuk merasai suasana sebenar mengendalikan jentuai padi semasa proses penuaian di lapangan, melihat dengan lebih dekat baka ternakan seperti lembu hibrid terbaik, baka kambing dan ayam saga.

Di antara teknologi yang akan dipamerkan adalah teknologi dron, prototype teknologi kejuruteraan pertanian untuk sistem pertanian pintar serta model sistem pengairan dan saliran pertanian, Sistem Recirculating Aquaculture System (RAS), asuhan ikan marin (Ikan Kerapu dan Siakap) dan ternakan Hygienik Moina disamping inovasi teknologi ikan Tilapia, inovasi kawalan kesihatan ikan Break and Protect 2 dan pelbagai lagi.

Selain itu, HPPNK pada kali ini turut memberi penekanan terhadap pengurusan sisa menerusi penghasilan by-product seperti kertas dan benang daripada serat nanas, demo pengurusan sisa dapur bagi penghasilan kompos daripada sisa tanaman serta impak perubahan iklim terhadap sektor pertanian, klinik keusahawanan, teknologi pertanian dan industri asas makanan serta pemasaran digital yang akan disampaikan oleh para panel berpengalaman.

HPPNK 2023 yang berkonsepkan mood baharu sebagai daya tarikan khusus untuk golongan orang muda dengan empat fokus utama iaitu Agro Millenia yang menawarkan empat segmen utama khas untuk orang muda seperti Lepaking Orang Muda, Klinik Orang Muda, Sukan dan Ruang Orang Muda. Fokus Teknologi dan Inovasi pula menawarkan showcase kecanggihan agroteknologi dan inovasi pertanian, penternakan, perikanan, IOT dan kelestarian pertanian. Turut menampilkan showcase berkaitan dengan Climate Change dan Food Wastage. Segmen Anugerah dan Penghargaan turut diadakan bagi meraikan dan mengiktiraf peladang, penternak dan nelayan. Menawarkan segmen Rakan Strategik bagi menonjolkan inisiatif dan elemen dalam menyokong usaha pemerkasaan sektor pertanian dan agromakanan negara. Manakala Fokus Sejahtera Madani pula menawarkan enam segmen utama termasuk pelbagai program dan aktiviti seperti Majlis Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan, PeladangNita dan aktiviti kekeluargaan. Fokus terakhir adalah Agro Madani dalam meraikan para pengunjung dengan pelbagai produk jualan pertanian menerusi Jualan Agro Madani, Empayar Makanan, produk pertanian dan industri asas tani, buah-buahan dan florikultur.

Pelbagai pengisian dan aktiviti yang disediakan oleh Jabatan dan Agensi dibawah KPKM, Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta rakan strategik juga turut diadakan. Aktiviti bersepadu ini adalah selaras dengan hasrat membangun Malaysia MADANI yang merupakan tanggungjawab semua pihak untuk memastikan tahap keterjaminan makanan negara sentiasa stabil serta mampan seiring dengan konsep Food Security is a Shared Responsibility. Komitmen ini juga mencerminkan kesepaduan padu Kerajaan dalam memperkukuh sekuriti makanan negara ke arah peningkatan produktiviti, penjanaan pendapatan terutamanya kepada golongan sasar peladang, petani, penternak dan nelayan untuk terus berdaya saing mengembangkan potensi perniagaan dan teknologi pertanian sekaligus meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat secara keseluruhannya.


Kandungan ini disediakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS