Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Ekonomi Madani: Peruntukan RM100 juta kepada SME Corp. Malaysia khusus untuk perusahaan mikro
Diterbitkan:  Sep 25, 2023 10:25 AM
Dikemaskini: 2:25 AM

Kerajaan Perpaduan kekal komited memastikan pembangunan perusahaan mikro diperkukuh melalui peruntukan khusus berjumlah RM400 juta seperti diumumkan di bawah kerangka Ekonomi Madani. Ini termasuk peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, SME Corporation Malaysia bagi Program Pengukuhan Mikro Madani (Mikro Madani). Pelancaran Program Mikro Madani telah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Hotel Putrajaya Marriot pada 20 September 2023.

Program Mikro Madani menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan mikro dalam bentuk geran dan pinjaman serta baucar untuk pendaftaran status Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui lima (5) inisiatif utama iaitu:

i. Geran Perniagaan Mikro (GPM);
ii. Pembiayaan Perniagaan Mikro (Micro Biz Financing – MBF);
iii. Geran Perniagaan Belia Mikro@TUBE (Tunas Usahawan Belia Bumiputera);
iv. Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus Sabah dan Sarawak; dan
v. Baucar Status PMKS.

Bantuan dalam bentuk geran padanan sehingga 70% kos projek bertujuan membantu perusahaan mikro meningkatkan keupayaan dan kapasiti mereka antara lainnya melalui perolehan mesin dan peralatan, penambahbaikan pembungkusan produk, penerapan ICT & eDagang, sewaan premis perniagaan dan pelaksanaan aktiviti promosi untuk meningkatkan jualan dan penjenamaan. Bantuan ini ditawarkan melalui semua inisiatif di bawah Mikro Madani kecuali program pembiayaan.

Bagi pembiayaan berbentuk pinjaman pula, bantuan membolehkan perusahaan mikro membiayai keperluan modal kerja serta pembelian mesin dan peralatan sehingga maksimum RM200,000 dengan kadar faedah serendah 2% setahun melalui kerjasama Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF). Di bawah insentif baucar pendaftaran status PMKS pula, perusahaan mikro layak menerima bantuan kewangan dalam bentuk baucar sebanyak RM100 bagi yuran pemprosesan pendaftaran Status PMKS di bawah SME Corp. Malaysia.

YB Datuk Ewon Benedick dalam ucapannya berkata, “KUSKOP amat menyokong inisiatif Kerajaan bagi memperkasakan perusahaan mikro khususnya perniagaan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 sebelum ini. Bagi tahun 2023, sejumlah 81 program sedang dilaksanakan untuk pembangunan perusahaan mikro dengan peruntukan RM8.8 bilion. Ini tidak termasuk program lain yang juga terbuka untuk disertai oleh perusahaan mikro dengan peruntukan sebanyak RM924.8 juta”. Tambah beliau, program khusus untuk membantu perusahaan mikro di Sabah dan Sarawak serta perniagaan mikro milik kaum India juga ditawarkan melalui Program Mikro Madani.

Menurut YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia, pula “Pada tahun 2022, PMKS mewakili 97.4% daripada jumlah pertubuhan perniagaan di Malaysia dan hampir 80% (78.7%) daripada jumlah PMKS adalah terdiri daripada perusahaan mikro. Justeru, wujud keperluan untuk Kerajaan memberikan tumpuan dan perencanaan khusus bagi menyokong pembangunan kumpulan ini, yang merupakan tunggak kepada kerangka Ekonomi Madani dalam mencapai pertumbuhan yang lebih terangkum, mampan dan seimbang“.

Sementara itu, Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia berkata “Permohonan untuk Program Mikro Madani akan dibuka bermula hari ini kepada perusahaan mikro di seluruh negara. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian dan maklumat lanjut berkenaannya boleh diakses di laman sesawang SME Corp. Malaysia melalui pautan http://smecorp.gov.my/MIKROMADANI. Beberapa Siri Jerayawara (road show) Program Mikro Madani juga akan dilaksanakan bagi mempromosikan program ini di seluruh negara bermula dengan Kuantan di Pahang pada 22 September, diikuti dengan Kuching di Sarawak (1 Oktober), Johor Bahru di Johor (10 Oktober), Alor Setar di Kedah (12 Oktober) dan seterusnya Kota Kinabalu di Sabah (17 Oktober)”.

Dalam majlis yang sama, YB Datuk Ewon Benedick turut menyampaikan Sijil Tamat Latihan dan replika cek Geran Permulaan Perniagaan sehingga RM30,000 setiap seorang, kepada 16 peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE). Hadir sama dalam majlis pelancaran Program Pengukuhan Mikro Ekonomi Madani tersebut adalah Yang Berhormat Senator Puan Saraswathy Kandasami, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia dan Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia.


Kandungan ini disediakan oleh SME Corp. Malaysia


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS