ADS
mk-logo
Pengumuman
1.8 juta isi rumah bakal menikmati penjimatan melalui Program Jualan Agro MADANI
Diterbitkan:  May 25, 2023 9:56 AM
Dikemaskini: 1:56 AM

PUTRAJAYA, 24 MEI 2023 – YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah merasmikan Program Jualan Agro MADANI pada 16 April 2023 yang lalu di Kampung Johan Setia, Kota Raja, Selangor. Program Jualan Agro MADANI merupakan penjenamaan semula kepada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehcapaian (accessibility) dan ketersediaan (availability) bagi pengguna mendapatkan bekalan produk-produk segar terpilih pada kadar harga yang berpatutan (affordability) dengan penjimatan di antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat. Produk-produk yang ditawarkan seperti produk segar sayur, buah, ayam, telur, ikan dan daging. Selain itu, turut ditawarkan produk barang kawalan seperti minyak, tepung, beras dan keperluan produk makanan asas terpilih. Program ini juga dapat mengurangkan lapisan perantara pasaran daripada pengeluar kepada pengguna melalui konsep jualan terus.

Program Jualan Agro MADANI ini akan diadakan di lokasi-lokasi strategik dan terpilih seperti di Kompleks Kerajaan, Outlet Peruncitan Agensi di bawah KPKM, kawasan perumahan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan bandar dan pinggir bandar yang berkepadatan tinggi dengan penduduk B40 dan M40.

Bagi tahun 2023, KPKM menyasarkan pelaksanaan 900 program Jualan Agro MADANI di seluruh negara melibatkan seramai 13,000 orang usahawan dengan sasaran nilai jualan berjumlah RM13.5 juta. Dianggarkan sejumlah 1.8 juta isi rumah golongan B40 dan M40 akan menikmati penjimatan melalui program Jualan Agro MADANI ini. Untuk rekod, sehingga 30 April 2023, sebanyak 424 program telah dianjurkan melibatkan 6,312 orang usahawan dengan nilai jualan sebanyak RM9.35 juta.

Program Jualan Agro MADANI yang terdekat akan diadakan di Pekarangan Bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kompleks C, Putrajaya pada 25 Mei 2023 (Khamis) dan di Pekarangan Bangunan Jabatan Perdana Menteri di Kompleks B, Putrajaya serta Pekarangan Bangunan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur pada 26 Mei 2023 (Jumaat), bermula jam 11 pagi hingga 2 petang. Dalam perkara ini, pihak KPKM akan menganjurkan lebih banyak program Jualan Agro MADANI bermula pada Jun 2023.

ADS

Program Jualan Agro MADANI membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri dalam memastikan nasib golongan yang memerlukan sentiasa terpelihara dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi selaras dengan kerangka visi Malaysia MADANI


Sumber: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS
ADS
ADS