Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
National Training Week (NTW) 2023: Peluang latihan percuma untuk rakyat Malaysia dari pelbagai bidang dan kemahiran
Diterbitkan:  May 11, 2023 12:30 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

KUALA LUMPUR, 11 Mei 2023 - Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp bakal menganjurkan National Training Week (NTW) 2023 yang akan berlangsung dari 22 Mei 2023 hingga 28 Mei 2023. NTW 2023 adalah program latihan percuma di seluruh negara yang bertujuan untuk melatih 125,000 rakyat Malaysia, dengan nilai latihan sebanyak RM250 juta dan 500,000 jam latihan.

Program latihan akan ditawarkan oleh rakyat Malaysia kepada rakyat Malaysia secara percuma dan merangkumi pelbagai topik dan bidang kemahiran. Kursus-kursus latihan akan diterajui oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, pemain industri, individu, persatuan industri, ahli akademik, penyedia latihan dan banyak lagi.

NTW 2023 menawarkan pelbagai jenis latihan, termasuk kemahiran teknikal dan juga kemahiran soft skills seperti kepimpinan, pengurusan masa, dan kemahiran komunikasi. Terdapat juga kursus latihan yang tertumpu kepada bidang-bidang tertentu seperti teknologi maklumat, keusahawanan, kewangan dan banyak lagi.

Program ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang ingin meningkatkan kemahiran mereka. Para peserta akan diberikan sijil penyertaan sebagai pengiktirafan untuk kemajuan mereka dalam memperoleh pengetahuan dan kemahiran baru.

Bertepatan dengan program latihan, terdapat juga pelbagai acara lain yang akan diadakan sebagai sebahagian daripada NTW 2023. Ini termasuklah persidangan dan bengkel oleh pakar industri, sesi perkongsian oleh rakan kongsi dan kolaborator, dan banyak lagi.

Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar menyambut baik penyertaan 5,000 jurulatih dan kolaborator untuk menawarkan ribuan kursus latihan secara percuma.

“Dengan adanya Inisiatif NTW ini, kesedaran mengenai kepentingan pembelajaran sepanjang hayat akan dapat ditingkatkan sekali gus mempromosikan budaya pembelajaran dalam kalangan masyarakat Malaysia. Dalam NTW 2023, terdapat pelbagai program latihan dan pembelajaran yang disediakan untuk pelajar, graduan dan pekerja untuk memperbaiki kemahiran mereka, meningkatkan kebolehpasaran dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

Diharapkan acara ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada semua pihak termasuk golongan yang menghadapi kekangan untuk mendapatkan latihan serta kursus yang diperlukan seterusnya menyumbang kepada pembangunan modal insan Malaysia," katanya.

Antara kementerian yang menyokong NTW 2023 termasuklah Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan dan banyak lagi.

Dalam pada itu, pihak yang berminat untuk menjadi rakan kongsi atau kolaborator boleh berbuat demikian dengan melibatkan diri sama ada menerusi penyampaian program latihan, pelancaran dan acara, penyediaan tempat dan logistik, peralatan dan peranti, serta bahan latihan untuk NTW 2023.

Sumbangan lain yang dapat memberikan impak positif yang signifikan dan membantu menarik lebih banyak peserta untuk mengikuti latihan percuma yang berkualiti tinggi semasa NTW 2023 amatlah dialu-alukan dan HRD Corp percaya bahawa dengan kerjasama dan kolaborasi yang baik, kita dapat memastikan kejayaan dan keberhasilan NTW 2023 serta memberikan manfaat yang maksimum kepada peserta dan masyarakat.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai NTW 2023, sila layari www.nationaltrainingweek.gov.my.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS