Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
KOPETRO rai anak-anak Buku Jalanan Chow Kit
Diterbitkan:  Feb 21, 2023 9:58 AM
Dikemaskini: 1:58 AM

Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) melalui anak syarikatnya KOPETRO Catering Sdn. Bhd. menyokong usaha yang dijalankan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) dengan menaja makanan buat anak-anak miskin kota di dalam program “Enlightening The Future with Buku Jalanan Chow Kit (BJCK)” anjuran Khidmat Ummah universiti berkenaan.

BJCK adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diwujudkan untuk membantu kanak-kanak bukan warganegara atau mereka yang tidak boleh mendaftar ke sekolah disebabkan masalah dokumentasi mendapatkan pendidikan asas. Beroperasi di Lorong Haji Taib 1, Chow Kit dan bergerak sepenuhnya atas konsep infaq daripada orang ramai dan badan korporat, BJCK adalah ruang selamat buat kanak-kanak di sekitar kawasan Chow Kit untuk menimba ilmu pengetahuan.

Program “Enlightening The Future with BJCK” ini diaturkan oleh mahasiswa daripada program Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Undang-Undang UIS di mana mereka meluangkan masa bersama para pelajar BJCK menjalankan pelbagai aktiviti, antaranya pengisian asas Fardu Ain, kelas membaca dan mengeja, serta aktiviti permainan seperti treasure hunt.

Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah berkata KOPETRO prihatin dengan nasib kanak-kanak gelandangan yang tidak mempunyai akses kepada sistem pendidikan konvensional dan terpaksa mengharungi hari-hari mereka dengan ketidaktentuan di tengah-tengah ibu kota. Justeru, KOPETRO tidak melepaskan peluang untuk turut serta bersama UIS dengan menyediakan sajian daripada KOPETRO Catering sepanjang program ini.

“KOPETRO menyokong sepenuhnya inisiatif oleh mahasiswa UIS yang telah menyusun pelbagai aktiviti pembelajaran untuk membantu kanak-kanak di BJCK melalui program ini. Diharap kelas asas Fardu Ain, membaca dan mengeja yang dijalankan pada hari ini mendatangkan manfaat kepada anak-anak ini. Bersesuaian dengan bulan Ramadan yang menjelang tiba, KOPETRO mengambil kesempatan menyampaikan infaq dalam bentuk peralatan program serta makanan untuk dinikmati oleh pelajar-pelajar di BJCK serta semua yang terlibat dalam program ini,” ujarnya.

Sebelum ini, KOPETRO konsisten mewujudkan program infaq makanan dengan menyampaikan sumbangan kepada masjid, anak yatim, gelandangan dan juga ketika ibu kota dilanda banjir pada tahun 2021. KOPETRO sentiasa mengalu-alukan sumbangan mana-mana pihak seperti sektor korporat, sektor syarikat swasta, badan kerajaan atau orang ramai melalui inisiatif Infaq Prihatin, sebuah program bantuan makanan oleh KOPETRO Catering untuk memberikan senyuman kepada golongan yang kurang berkemampuan sepanjang tahun.

Pada program ini, KOPETRO Catering menyediakan sajian 100 pek makanan untuk dinikmati bersama oleh semua yang terlibat, dilengkapi sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang. KOPETRO juga berbesar hati menaja peralatan program seperti alat tulis dan kit program. Sumbangan ini adalah salah satu komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat KOPETRO untuk berbakti kepada orang ramai dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

KOPETRO Catering mempunyai pengalaman hampir 40 tahun dalam perniagaan katering dan perkhidmatan makanan. Bermula dengan perniagaan katering kecil pada tahun 80-an, KOPETRO Catering kini menyediakan katering untuk bilik mesyuarat dan ruang jamuan bagi syarikat swasta dan badan kerajaan. Selain itu, perkhidmatan katering untuk mana-mana perniagaan, sektor korporat, mesyuarat dan pelbagai jenis acara juga disediakan oleh KOPETRO Catering.

Dikenali sebagai pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan penyediaan makanan yang terbaik, KOPETRO Catering dikendalikan oleh pekerja profesional yang mampu menyediakan pelbagai menu halal menepati citarasa tempatan dan antarabangsa.


Kandungan ini disediakan oleh Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS