Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan tiba di Wisma Tani bagi memulakan tugas rasmi dengan disambut oleh Ketua Setiausaha, Dato’ Haslina Abdul Hamid bersama barisan kepimpinan tertinggi Kementerian. Turut hadir Ketua-Ketua Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan dan Agensi dibawah Kementerian.
YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Tuan Haji Mohamad bin Sabu seterusnya diiringi dan dibawa mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya tugas rasmi beliau menerajui Kementerian ini. Sejurus selepas itu, YB Menteri telah diberikan taklimat berkaitan kementerian oleh Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik.
YB Menteri merupakan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan pernah menyandang jawatan Menteri Pertahanan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam senarai anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan setelah memenangi kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.
Untuk rekod, selaku Kementerian peneraju dalam mentransformasikan sektor pertanian dan industri makanan telah membangunkan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025. Pelan ini adalah bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara dengan mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan. Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 yang merangkumi 5 teras strategik, 15 strategi dan 96 inisiatif ini dijangka akan dapat memastikan kesinambungan bekalan makanan negara pada setiap masa, khususnya dalam menghadapi situasi di luar jangkaan.
Kementerian amat mengalu-alukan perlantikan ini sebagai satu pasukan kepemimpinan baharu yang akan dapat mengemudi sektor pertanian dan industri makanan dengan lebih baik serta memberi manfaat kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat terutamanya golongan sasar.