Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam atau Bank) terus komited dalam memastikan keselamatan pelbagai platfrom perbankan dan melindungi kepentingan pelanggan, terutamanya dalam menangani aktiviti penipuan, dengan mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan secara berterusan.
Mengenai insiden tular di satu platform media sosial baru-baru ini yang dilaporkan membabitkan pencerobohan akaun seorang pelanggan berusia 80-an, Bank Islam ingin memaklumkan bahawa kami telah menghubungi pelanggan berkenaan dan satu siasatan terperinci telah dijalankan. Perkembangan siasatan telah dikongsi bersama pelanggan berkenaan dan hasil siasatan awal menunjukkan bahawa sistem keselamatan dan kawalan Bank kekal teguh.
Bank prihatin dengan cabaran emosi dan kewangan dihadapi pelanggan apabila mereka terkesan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab. Bank akan terus memastikan saluran perbankan dan pembayarannya kekal selamat dan dilengkapi dengan sistem kawalan keselamatan terkini.
Bank Islam juga akan terus mendidik dan meningkatkan kesedaran awam tentang amalan perbankan berhemah seperti memastikan kad debit atau kredit dijaga dengan baik dan tidak berkongsi butiran penting perbankan dengan pihak ketiga termasuk kata laluan, nombor kod identifikasi peribadi (PIN) untuk perkhidmatan ATM dan kad debit serta kod keizinan atau OTP. Usaha-usaha ini diambil dengan melibatkan kerjasama penuh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengawal selia dan penggiat industri lain.
Daripada aspek perbankan elektronik, Bank Islam telah melaksanakan fungsi GO Secure sejak tahun 2020. GO Secure merupakan sebuah sistem pengesahan berasaskan aplikasi yang digunakan untuk meluluskan transaksi yang dijalankan di kemudahan Perbankan Internet Bank Islam (IB) dan aplikasi mudah alih GO by Bank Islam. GO Secure adalah satu sistem yang lebih teguh dan akan menggantikan perkhidmatan pengesahan i-Access Code (IAC) yang dihantar melalui SMS ke nombor telefon pelanggan yang berdaftar secara berperingkat.
Bank Islam merancang beralih kepada GO Secure sepenuhnya menjelang Jun 2023, sejajar dengan saranan Bank Negara Malaysia (BNM). Bank ini dijangka akan menyempurnakan lima langkah kawalan terhadap penipuan yang diumumkan
BNM baru-baru ini menjelang Jun 2023. Bank Islam menyeru pelanggannya untuk sentiasa mematuhi peraturan utama perbankan dalam talian. JANGAN kongsi butiran penting perbankan dengan pihak ketiga. JANGAN memuat turun aplikasi atau klik pada pautan yang meragukan, terutamanya apabila menerima panggilan telefon daripada pihak yang mencurigakan serta mendakwa mewakili agensi penguatkuasaan, BNM atau institusi perbankan seperti Bank Islam.
Kandungan ini disediakan oleh Bank Islam.