Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Tahun 2022 Dan Pelancaran Logo Barangan Malaysia
Diterbitkan:  Oct 15, 2022 8:46 AM
Dikemaskini: 12:46 AM

Hari ini saya merasmikan Karnival Barangan Malaysia 2022 (KBM2022), sebuah jenama baru dalam keluarga Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang telah dirancang sejak awal tahun dan menerima peruntukan dari Kerajaan dalam Bajet 2022.

KBBM2022 di Johor Bahru ini merupakan siri kedua setelah Ipoh, Perak yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang akan bermula pada 14 Oktober hingga 16 Oktober 2022 bertempat di Perkarangan Plaza Angsana Johor Bahru.

KBM kali ini boleh dikira sebuah karnival yang besar kerana berjaya menghimpunkan seramai 127 pempamer yang terdiri dari pengusahapengusaha barangan tempatan termasuk syarikat-syarikat gergasi seperti Petronas, Proton, Perodua, Modenas serta rakan-rakan strategik KBBM yang lain termasuklah Shopee, Lazada, PG Mall, Go Go Pasar, Shoppymore dan sebuah syarikat kreatif Les’ Copaque. Ini membuktikan bahawa industri, pengeluar dan peruncit senada dalam mengangkat dan memperjuangkan produk-produk Malaysia supaya ianya setanding dengan produk-produk dan jenama antarabangsa.

Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2022 yang diadakan sempena Karnival Barangan Malaysia pada hari ini merupakan usaha berterusan Kerajaan dalam mencapai objektifnya iaitu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan; meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan Keluarga Malaysia supaya barangan Malaysia menjadi keutamaan (priority) dalam membuat keputusan ketika berbelanja dan membeli-belah; meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti produk serta perkhidmatan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa; dan membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Keberkesanan kempen ini terserlah apabila barangan Malaysia menjadi pilihan utama dan ini terbukti berdasarkan trend peningkatan jualan sejak beberapa tahun lalu termasuklah ketika negara dilanda pandemik Covid-19. Jumlah jualan barangan Malaysia pada tahun lepas sahaja di marketplace telah mencatatkan sebanyak RM142 juta meliputi 1,070,340 SKU (Stock Keeping Unit). Manakala jualan pelbagai barangan Malaysia di rangkaian hypermarket, pasaraya, kedai serbaneka dan kedai serbaneka di stesen minyak pula telah mencapai jualan sebanyak 173,239 SKU dengan nilai jualan sebanyak RM3.08 billion.

Pelbagai inisiatif strategik KBBM yang telah dan sedang dilaksanakan pada tahun ini antaranya pemerkasaan produk tempatan di dalam industri peruncitan tempatan, inisiatif penembusan, promosi jualan dan pemasaran dalam talian, inisiatif pembangunan produk, kolaborasi khas bersama 3 animasi Upin dan Ipin, jualan mengikut segmen khusus iaitu kraftangan serta fesyen dan pelaksanaan Karnival Barangan Malaysia.

Justeru itu, bagi tahun 2022 ini, Kerajaan telah meletakkan sasaran untuk dicapai iaitu peningkatan jumlah jualan sebanyak 2.5% berbanding tahun lalu walaupun pelbagai cabaran dihadapi pada tahun ini termasuklah krisis inflasi dan kegawatan ekonomi dunia.

Menyedari banyak lagi produk keluaran tempatan yang unik, berkualiti tinggi dan berpotensi untuk menembusi pasaran dalam dan luar negara dengan lebih meluas, KPDNHEP hari ini turut melancarkan Penandaan Logo Barangan Malaysia yang baharu.

Penambahbaikan yang merangkumi peluasan kategori logo kepada 1) Produk Malaysia, 2) Buatan Malaysia dan 3) Rekaan Malaysia ini bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih banyak syarikat untuk memohon dan mendapat pengiktirafan Penandaan Logo Barangan Malaysia. Tarikh kuatkuasa Penandaan Logo Barangan Malaysia adalah bermula 1 November 2022.

Adalah menjadi hasrat kementerian untuk melihat lebih banyak produk keluaran tempatan diiktiraf dan dikenali di peringkat domestik dan antarabangsa. Penandaan logo Buatan Malaysia akan menjadi pemangkin serta memberi nilai tambah dan jaminan kualiti terhadap sesuatu produk keluaran tempatan kerana penggunaan logo ini perlu melalui melalui ujian saringan kualiti serta pembungkusan dan tidak diberikan sewenangwenangya. Ini juga secara tidak langsung mewujudkan permintaan terhadap 4 bahan mentah utama yang dikeluarkan dalam negara dan seterusnya meningkatkan aliran tunai dalam ekonomi domestik.

Sehubungan dengan itu, kita menyasarkan agar lebih banyak produk/ barangan tempatan berkualiti dengan penampilan pembungkusan yang menarik dapat dihasilkan supaya produk kita dapat berdiri sama tinggi dengan produk antarabangsa dan tidak lagi perlu bergantung kepada produk luar negara serta dapat mengurangkan pengaliran wang kita ke luar negara.

KPDNHEP ingin menyeru agar Keluarga Malaysia untuk sama-sama “Jom Sokong dan Beli” dan menyarankan Keluarga Malaysia supaya melestarikan budaya mengutamakan barangan Malaysia dalam membuat keputusan ketika berbelanja dan membeli-belah. Kalau tidak kita, siapa lagi? Impaknya akan melimpah merancakkan kitaran ekonomi negara serta meningkatkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan.

KPDNHEP juga berharap agar Keluarga Malaysia dapat turun beramai-ramai ke Karnival Barangan Malaysia 2022 dalam memeriahkan lagi KBM ini disamping menyokong produk-produk dan usahawan tempatan dan secara tidak langsung dapat menyegerakan pemulihan ekonomi negara.

“Jom Sokong dan Beli” Barangan Malaysia

“Barang Baik, Barang Kita”

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

Caretaker Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna

14 Oktober 2022


Kandungan ini disediakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS