Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Karnival Barangan Malaysia (KBM) Inisiatif Terbaharu Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022
Diterbitkan:  Oct 3, 2022 12:17 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

IPOH, 1 Oktober 2022 - Penganjuran Karnival Barangan Malaysia dari 30 September hingga 2 Oktober 2022 bertempat di Perkarangan Mydin Mall Meru Raya, Ipoh, Perak adalah satu inisiatif terbaharu Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2022.

KBBM merupakan kempen berterusan sepanjang masa bagi melestarikan budaya mengutamakan barangan Malaysia ketika berbelanja dan membeli belah di kalangan ahli Keluarga Malaysia. Mengutamakan barangan Malaysia meliputi Jenama Malaysia, Produk Buatan Malaysia mahupun Perkhidmatan Malaysia adalah manifestasi sebenar semangat patriotisme kepada negara di kalangan ahli Keluarga Malaysia; di samping merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan; meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti produk serta perkhidmatan buatan Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa; dan membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Pelaksanaan KBBM pada tahun 2020 telah menyaksikan penjualan barangan tempatan bernilai RM3.3billion dengan bilangan SKU keseluruhan berjumlah 326,154. Walau bagaimanapun, pada tahun 2021 pula merekodkan jualan 173,239 SKU di pelbagai rangkaian pasaraya besar, pasaraya, kedai serbaneka dan kedai sebaneka di stesen minyak dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.08 billion.

Manakala bagi pelaksanaan KBBM melalui online marketplace, bagi tahun 2020, sebanyak 281,864 SKU telah berjaya dijual dengan nilai RM145 juta. Tahun 2021 menyaksikan lonjakan penjualan mencecah 1,070,340 SKU, sengan jumlah hasil jualan sebanyak RM142juta.

KPDNHEP berharap dengan inisiatif penganjuran Karnival sebegini akan dapat menyemarakkan lagi KBBM2022. Karnival Barangan Malaysia akan dilaksanakan sebanyak dua siri yang mana siri kedua akan berlangsung di Perkarangan Plaza Angsana, Johor Bahru pada 14 hingga 16 Oktober 2022. KBM2022 dijangka dapat membantu mengimbangi cabaran dan tekanan ekonomi global semasa khususnya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk atau perkhidmatan tempatan.

KPDNHEP ingin menyeru agar Keluarga Malaysia keluar beramairamai untuk “Jom Sokong dan Beli” Barangan Malaysia. Sifat cintakan negara boleh dimanifestasikan dalam pelbagai cara dan salah satu daripadanya adalah dengan menyokong dan membeli produk dan perkhidmatan tempatan.

Kementerian merancang agar bermula tahun depan, Karnival Barangan Malaysia dapat dibuat dalam skala yang lebih besar seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA), yang mengumpulkan semua barangan tempatan di One-Stop Showcase dari perabot, pakaian, fesyen, batik, automotif, gaya hidup, produk kesihatan hingga ke barangan makanan dan produk halal. Bagi memantapkan lagi pengisian untuk memartabatkan barangan dan perkhidmatan hasil tempatan, persembahan dan pameran yang dapat mengangkat kualiti produk tempatan seperti pertunjukan fesyen, pertunjukan kereta dan motor, pertandingan memasak dan pelbagai lagi acara turut dirancang diadakan.

Jom Sokong dan Beli Barangan Malaysia

Kalau Tidak Kita, Siapa Lagi?

“Barang Baik, Barang Kita”


Kandungan ini disediakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS