UEM Sunrise Berhad (“UEM Sunrise” atau “Syarikat”), salah satu pemaju hartanah terkemuka di Malaysia telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petroliam Nasional Berhad (“PETRONAS”) melalui dua anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS Global Technical Solutions Sdn Bhd (“PGTSSB”) dan Gentari Sdn Bhd (“GENTARI”) untuk menerokai pelbagai peluang kolaborasi ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui, tenaga dan mobiliti hijau serta pembangunan bandar yang pintar dan mampan untuk masa hadapan.
UEM Sunrise dan PETRONAS merancang untuk menuju ke arah matlamat bersama dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net zero emissions’ menjelang 2050; dengan memanfaatkan teknologi, kepakaran dan sumber masing-masing untuk mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, mobiliti hijau, bandar pintar lestari dalam jangka pendek, sederhana dan panjang. Selain itu, perkongsian tersebut selaras dengan salah satu Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (UNSDG), khususnya matlamat ke-17, “Kerjasama demi Matlamat”.
Kerjasama tersebut juga merangkumi penyelesaian lestari yang sedia ada serta penyelesaian terkini dalam pembangunan Syarikat, di mana UEM Sunrise merupakan pemaju hartanah pertama yang bekerjasama dengan dua anak syarikat PETRONAS tersebut.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan rakan korporat yang mempunyai hala tuju yang sama seperti PGTSSB dan GENTARI ke arah matlamat bersama untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050. Dengan kolaborasi yang strategik ini, saya yakin bahawa kita menuju ke arah yang tepat untuk mencapai matlamat kami. Ini merupakan titik permulaan kepada kolaborasi yang saling menguntungkan di samping membawa nilai mampan jangka panjang untuk seluruh komuniti ,” kata Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Sufian Abdullah.
Dalam jangka masa terdekat, kolaborasi bersama GENTARI akan memberi tumpuan kepada penyelesaian karbon rendah, termasuk stesen pengecas EV dan ‘forecourt’ elektrik di pembangunan-pembangunan UEM Sunrise serta ladang suria di tanah UEM Sunrise.
Manakala dalam jangka panjang, MoU dengan PGTSSB akan menerokai penyelesaian karbon rendah dan berasaskan alam semula jadi seperti:
• Penyelesaian Tenaga Hijau Pintar dan Tenaga Boleh Diperbaharui – Menerokai dan menyediakan penyelesaian tenaga bersih yang praktikal untuk menangani isu perubahan iklim secara berperingkat.
• Ekonomi Kitaran (‘Circular Economy’) – Melaksanakan pengurusan sumber kitaran penuh dengan meningkatkan kapasiti pengitaran semula dan menerapkan konsep sifar sisa.
• Penyelesaian teknikal dan teknologi mampan – Menerapkan penyelesaian pembangunan berteknologi tinggi baharu yang berdaya tahan, mesra alam dan mesra pengguna yang akan mewujudkan perubahan sosial yang positif kepada masyarakat.
Secara keseluruhan, usaha kolektif bersama tersebut juga dijangka menerokai dan melaksanakan penyelesaian progresif dan mampan yang akan memberi manfaat kepada perniagaan masing-masing serta menyumbang kepada negara secara keseluruhan ke arah Malaysia yang mampan, dan negara sifar bersih menjelang 2050.
Mewakili GENTARI, Ketua Peralihan Penyelesaian Tenaga Bersih PETRONAS, Shahrizal Yang Razalli berkata, “Peralihan ke arah tenaga yang lebih bersih membuka peluang besar di Malaysia. Kerjasama dengan rakan kongsi yang amat komited tentang peralihan ini seperti UEM Sunrise, akan membantu GENTARI memajukan usaha bersepadu kami dalam memacu peralihan ke arah mobiliti mampan dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Dengan kerjasama ini, GENTARI terus memenuhi tujuan kami untuk menyelesaikan desakan keperluan tenaga mampan di dunia, memberikan penyelesaian yang dapat mengubah cara kehidupan kita hari ini untuk masa depan yang lebih baik."
Ketua Pegawai Eksekutif PGTSSB Annaliz Abu Bakar menambah, “Bahagian Penyampaian Projek dan Teknologi PETRONAS melalui PGTSSB teruja untuk bekerjasama secara strategik sambil mengembangkan kepakaran kami melangkaui industri tenaga. Kami yakin bahawa sinergi melalui titik sentuhan kedua-dua syarikat akan terus berkembang dan memanfaatkan lebih ramai pemegang-pemegang kepentingan ketika Malaysia menuju ke arah negara neutral karbon menjelang 2050.”
Perkongsian itu adalah sebahagian daripada pelan kemampanan berterusan UEM Sunrise berdasarkan Pelan Tindakan Kemampanan 1.0 mereka, di mana ia memberi tumpuan kepada aspek utama Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan memfokuskan pendekatan langkah demi langkah ke arah masa hadapan rendah karbon menjelang 2030, dan berusaha mencapai emisi sifar menjelang 2040 dan menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.
Kandungan ini disediakan oleh UEM Sunrise Berhad.
Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.