1.Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengadakan Mini KUD yang kedua bagi tahun 2022 pada 30 Jun 2022 hingga 3 Julai 2022 (Khamis hingga Ahad) bertempat di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis, Pahang dengan penglibatan 6 agensi di bawah KPLB iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA Berhad, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) selain penglibatan dari bahagian-bahagian di bawah KPLB. Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Majlis Daerah Lipis (MDL) khususnya dalam penyediaan tapak Program Mini KUD @ Lipis ini dan juga penglibatan di dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pengisian Program Mini KUD @ Lipis. Program ini dijadualkan untuk bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 11.30 malam dan disasarkan akan menerima kira-kira 5,000 pengunjung setiap hari dengan sasaran jualan berjumlah RM200,000.00 untuk sepanjang tempoh pelaksanaan Program Mini KUD @ Lipis.
2. Majlis perasmian penutupan program ini dijadualkan untuk diadakan pada 3 Julai 2022 (Ahad) dengan ketibaan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad selaku perasmi pada jam 8.45 malam. Semasa majlis perasmian dan penutup tersebut juga, YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad akan menyempurnakan penyampaian Replika Kad Perniagaan Program Start Right (PSR) kepada lima (5) orang usahawan terpilih dari daerah Lipis, Pahang di bawah seliaan PKPP yang dilantik sebagai Agensi Pelaksana oleh KPLB. YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad juga akan menyempurnakan penyampaian Hadiah Utama Cabutan Bertuah yang diadakan sempena pelaksanaan Program Mini KUD @ Lipis kali ini yang merupakan sebuah motorsikal Honda Dash REPSOL 125cc.
3. Terdapat 3 objektif yang ditetapkan bagi tujuan pelaksanaan program ini iaitu:
i) Menjadi platform untuk mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh Kementerian dan agensi yang dapat membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar;
ii) Mempromosi dan menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk/ perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli; dan
iii) Meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar.
4. Kumpulan sasar bagi program ini terdiri daripada usahawan luar bandar yang telah mendapat bimbingan Kementerian, agensi dan usahawan-usahawan luar bandar berpotensi yang memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan. Program ini juga menyasarkan penyertaan bahagian-bahagian dari Kementerian dan agensi yang menyediakan program pengukuhan keusahawanan dan pembiayaan kewangan kepada usahawan luar bandar. Selain daripada itu, program ini akan turut melibatkan pameran pendidikan daripada institusi-institusi pendidikan khususnya di bawah MARA seperti Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) yang akan membawakan pameran mekatronik dan robotik.
PENGISIAN PROGRAM MINI KUD @ LIPIS
Aktiviti Jualan Usahawan
5. Sebagai fokus utama pelaksanaan Mini KUD @ Lipis ini, seramai 100 lebih usahawan termasuk penjual masakan panas, penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman dan usahawan Food Truck dari pelbagai agensi di bawah KPLB dan usahawan tempatan di bawah kelolaan MDL yang dikenalpasti akan menyertai program ini. Majoriti usahawan-usahawan luar bandar yang terlibat adalah terdiri daripada kategori makanan dan minuman, diikuti oleh kategori fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kategori kecantikan dan kesihatan, kategori kraftangan dan kategori produk pertanian.
Aktiviti Pameran Agensi dan Anak Syarikat
6. Penganjuran Mini KUD @ Lipis akan turut menampilkan Rural Business Challenge (RBC) Bistro yang disertai oleh pemenang pemenang RBC daripada sekitar negeri Pahang dan negeri sekitar. RBC Bistro dilihat dapat mencipta peluang akses pasaran yang lebih luas, meningkatkan aktiviti jualan, pelebaran jaringan perniagaan seterusnya berupaya mengembangkan perniagaan usahawan luar bandar khususnya usahawan RBC.
7. Selain itu, antara aktiviti yang bakal dijalankan adalah melibatkan pameran oleh bahagian-bahagian di bawah KPLB dan agensi serta anak syarikat yang memfokus kepada keusahawanan, pendidikan serta penawaran kemudahan-kemudahan yang disediakan seperti berikut:
i) Bahagian Pembangunan Usahawan Desa:
a) Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) - penerangan, pendaftaran dan kelulusan;
b) Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) - penerangan dan pendaftaran; dan
c) Program Start Right (PSR) @ KPLB - penerangan dan pengambilan.
d) Rural Mobile Entrepreneur (RME) – penerangan dan pengambilan.
ii) Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti: Program Onboarding Usahawan, penerangan, pameran dan jualan, pitching dan pendaftaran bagi Program DesaMall@KPLB.
iii) Penerangan dan pendaftaran di kolej-kolej di bawah Institut Pendidikan MARA (IPMa) iaitu IKM, KKTM, UniKL, GiatMARA dan Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA;
iv) Penerangan dan pendaftaran kemudahan-kemudahan pembiayaan perniagaan, latihan keusahawanan dan penyewaan premis di bawah MARA;
v) Sesi Business Matching MARA;
vi) Pameran Bas MARALiner;
vii) GiatMARA: Perkhidmatan kepada pengunjung:
a) Gunting rambut;
b) Penyelenggaraan motor; dan
c) Water Transfer dan Airbrush.
viii) RISDA: Spa bergerak;
ix) KEMAS: Penerangan dan pendaftaran program-program di bawah KEMAS serta aktiviti-aktiviti seperti hiasan kuku, solekan dan dandanan; dan
x) RISDA, FELCRA, JAKOA, KESEDAR dan PKPP: Penerangan berkenaan program-program keusahawanan dan pembangunan ekonomi serta kemudahan-kemudahan pembiayaan perniagaan di bawah agensi serta anak syarikat masing-masing.
Aktiviti Tarikan Pengunjung
8. Bagi memeriahkan suasana Mini KUD @ Lipis, beberapa aktiviti tarikan pengunjung telah dirancang dan bakal dilaksanakan antaranya adalah seperti berikut:
i) Forum Perdana:
Moderator: DJ Pyan IKIM FM
Panelis: YBhg. Dato’ Ustaz Badlishah Alauddin dan YBhg. Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa;
ii) Pertandingan Nasyid;
iii) Demonstrasi Bomba;
iv) Pertandingan Memasak;
v) Pameran Kenderaan Pacuan Empat Roda Vespa dan motorsikal Yamaha Y15;
vi) Fun Ride (Acara kayuhan berbasikal);
vii) Pertandingan Liga Sepakan Penalti;
viii) Perlawanan Persahabatan Bola Sepak;
ix) Kejohanan Dart Beregu Tertutup Pantai Timur;
x) Pameran dan persembahan kebudayaan Orang Asli;
xi) Persembahan Briged Seni RISDA;
xii) Pertandingan mewarna kanak-kanak terbuka;
xiii) Persembahan artis jemputan daripada Dato’ Hattan, Dato’ Nash, Ronnie Hussein, Syura Badron, Roslan Madun, Neeta Manis, Kumpulan Floor 88 serta Bell Ngasri selaku pengacara majlis;
xiv) Gerai buah-buahan FAMA;
xv) Mobile Learning INFRA; dan
xvi) Cabutan bertuah.
9. Pelaksanaan Program Mini KUD @ Lipis ini juga akan dimeriahkan lagi dengan penggunaan baucer penggalak jualan yang keseluruhannya bernilai RM20,000.00 yang diberikan secara percuma kepada semua pengunjung untuk memeriahkan jualan usahawan yang menyertai Program Mini KUD @ Lipis ini.
Kandungan ini disediakan oleh KPLB.
Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.