ADS
mk-logo
Pengumuman
ESI Hub bakal jadi pusat belia membangunkan kemahiran dalam sukan elektronik
Diterbitkan:  Apr 21, 2022 6:37 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Puan Ramona binti Mohd Razali telah menyempurnakan upacara pelancaran hab sukan elektronik kebangsaan yang dinamakan ESI Hub di sini pagi tadi. Projek pembinaan hab sukan elektronik tersebut sebelum ini telah diumumkan sebagai sebahagian daripada peruntukan Belanjawan 2020. Dengan lokasi strategik di Spacerubix, iaitu sebuah kompleks belia yang popular untuk acara sukan dan komuniti di Puchong, para pengunjung ESI Hub akan dapat mengakses hab ini dengan mudah kerana ia dihubungkan dengan lebuhraya-lebuhraya utama, stesen LRT, ruang parkir yang luas dan pengangkutan awam yang lain. 

Memuatkan sebuah Tournament Hall dan 13 bilik permainan yang boleh juga berfungsi sebagai bilik latihan atau studio mini, ESI Hub pasti menjadi pilihan komuniti sukan elektronik tempatan untuk mengembangkan bakat dan menajamkan kemahiran mereka dalam industri sukan elektronik tempatan. Atlet, pemain profesional, pasukan, jurulatih, pencipta kandungan dan pemain kasual kini boleh menikmati akses kepada semua kemudahan fasiliti dan peralatan permainan terkini. ESI Hub kini dibuka untuk tempoh percubaan di mana orang ramai boleh menghubungi ESI untuk melawat kemudahan hab dan mencuba peralatan permainan. Hab ini akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada bulan Julai dan akan menawarkan kadar subsidi selama 3 bulan, membolehkan semua untuk memanfaatkan kemudahan tersebut. 

ESI Hub boleh memuatkan kapasiti pengunjung seramai lebih kurang 200 orang dengan penggunaan kapasiti penuh. Bilik-bilik di hab ini boleh juga berfungsi sebagai bilik latihan atau studio mini yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan permainan termasuk 11 unit konsol Playstation dengan sepasang controller setiap unit dan 22 buah Gaming PC, sesuai untuk pelbagai kategori permainan sama ada menggunakan konsol, telefon bimbit, atau komputer. 

ADS

“Pembinaan ESI Hub adalah salah satu penanda aras dalam pembangunan industri sukan elektronik tempatan. Pihak berkepentingan kini mempunyai akses kepada kemudahan terkini yang ditawarkan di ESI Hub untuk program latihan, pencarian bakat dan pertandingan mereka,” kata Puan Ramona selepas pelancaran hari ini. “Para belia juga boleh menyertai kejohanan dan program yang dijalankan di sini seperti ESI Masterclass dan Malaysia Esports League 2022 (MEL22) yang akan bermula Julai akan datang,” tambah beliau. 

Idea untuk mewujudkan hab sukan elektronik kebangsaan ini telahpun dirangka di dalam Pelan Strategik KBS untuk Pembangunan Sukan Elektronik 2020 - 2025 dengan matlamat untuk menjimatkan kos, masa persediaan dan keperluan tenaga manusia bagi membolehkan acara bersaiz sederhana boleh berlangsung secara lebih kerap. Hab ini juga akan menawarkan inisiatif-inisiatif strategik KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan ESI seperti liga dan kejohanan e-sukan kebangsaan, program pembangunan kapasiti dan sokongan industri sebagai rakan kerjasama. 

“ESI Hub akan menjadi rumah dan pusat bagi ekosistem sukan elektronik di Malaysia, dan ini membuka ruang kepada syarikat-syarikat swasta untuk berkolaborasi dan menyediakan tajaan. Daripada pelibatan secara langsung kepada penganjuran bersama kejohanan mini, termasuk juga pengaktifan jenama, ESI Hub sesuai untuk mana-mana syarikat yang sedang meneroka penglibatan berimpak tinggi dengan komuniti sukan elektronik tempatan. Kami menjemput semua syarikat untuk mempertimbangkan ESI Hub sebagai salah satu lokasi pilihan dalam setiap perancangan program pembangunan dan latihan mereka,” kata Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI). 

ADS

Selepas pelancaran hab tersebut, ESI akan mengumumkan Edisi Kedua Liga E-sukan Negara (Malaysia Esports League 2022 - MEL22) dan Garis Panduan Kawal Selia Kebangsaan untuk industri sukan elektronik sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Fasa Ke-2 ESI. Butiran lanjut boleh didapati di halaman media sosial ESI di Facebook, YouTube, Twitter, Instagram dan TikTok.


Kandungan ini disediakan oleh Impact Integrated.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di membership@malaysiakini.com atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS