mk-logo
Pengumuman
Lazada dan UiTM memperkasakan usahawan muda menerusi Lazada4Youth
Diterbitkan:  Apr 15, 2022 5:23 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Lazada Malaysia dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di majlis pelancaran Lazada4Youth, satu inisiatif yang dirangka khas untuk merangsang keusahawan digital dan daya inovasi di kalangan belia di Malaysia. Majlis menandatangani MoU tersebut telah berlangsung pada 11 April 2022 di UiTM Kampus Puncak Alam antara Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor dan Encik Cheang Kiat Cheong, Ketua Pegawai Kewangan Lazada Malaysia, di hadapan Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Lazada4Youth menampilkan beberapa siri bengkel untuk usahawan digital muda, dengan peluang untuk menyertai Lazada sebagai penjual baharu atau ahli sekutu gabungan pemasaran digital. Bengkel yang pertama telah berlangsung pada hari yang sama dengan majlis pelancaran, dan dikendalikan oleh Jurulatih Bertauliah Lazada (Lazada Certified Trainers) bersama beberapa pakar Lazada dari bahagian Pembangunan Perniagaan (Business Development) dan Pertumbuhan Pengguna (User Growth). 400 pelajar UiTM telah menyertai bengkel tersebut secara bersemuka, manakala lebih dari 3,500 pelajar turut menyertai bengkel pertama tersebut secara dalam talian menerusi saluran YouTube rasmi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Sesi tersebut memfokuskan kepada perkongsian tentang industri eDagang, penjenamaan digital, kehadiran digital, pemasaran sekutu gabungan dan aruhan peniaga (seller onboarding). 15 usahawan tempatan turut memaparkan perniagaan mereka sebagai sebahagian daripada pameran di acara tersebut. Di samping itu, Dato’ Rizalman Ibrahim, ikon tersohor industri fesyen dan seni reka bentuk dalaman, yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UiTM, dan Anisah Farid, pereka kreatif terkemuka turut berkongsi pengalaman, kisah sukses serta cabaran yang direntasi.

Berucap di majlis tersebut, Cheang Kiat Cheong, Ketua Pegawai Kewangan, Lazada Malaysia berkata, “Penglibatan aktif dan keterangkuman para belia dalam sektor ekonomi digital negara memainkan peranan yang amat penting untuk merangsang pertumbuhan mampan bagi mewujudkan generasi eDagang yang akan datang. Lazada4Youth dibentuk demi memperkasakan dan menggalakkan usahawan muda agar mereka mampu mencari jalan dan peluang baharu untuk berdikari membina perniagaan mereka dalam skop yang lebih inklusif, dengan daya saing yang teguh, di samping mencorakkan pertumbuhan ekonomi digital negara.”

“Sebagai pembimbing bakat dinamik ke arah merangsang keupayaan keusahawanan digital yang lebih kukuh, UiTM sentiasa konsisten mencari jalan bagi menyediakan platform yang lebih baik untuk memupuk dan menggiatkan bakat baharu. Bersama Lazada4Youth, UiTM akan terus berusaha menjadi pemangkin untuk mengembangkan potensi pelajar dan seterusnya memupuk pemimpin masa hadapan,’ kata Prof. Datuk Roziah, Naib Canselor UiTM.

Semasa berucap melancarkan Lazada4Youth, Dato’ Seri Abdul Razak, Ketua Setiausaha, KPT, berkata, “Pelaksanaan yang berkesan dan potensi impak baik program ini akan yang menjuruskan kepada pendedahan positif dan pengalaman yang berharga bagi para pelajar universiti demi membina peluang kerjaya bersama peneraju industri eDagang seperti Lazada. Ini adalah selaras dengan inisiatif KPT iaitu “Entrepreneurship-Integrated-Education (EIE)” yang menumpukan kepada pembentukan ekosistem keusahawanan yang lebih sinergistik dan holistik, di samping mencetuskan daya keusahawan yang berimpak tinggi dengan penglibatan pelbagai rakan strategik yang menekankan kepada keterampilan inovasi dan perniagaan berasaskan teknologi.”

Apabila selesai bengkel Lazada4Youth, para pelajar yang bersedia dan mampu menjual produk mereka secara dalam talian boleh menyertai Lazada sebagai penjual di bawah “Hari-Harimau New Seller Kickstarter Package 2022”, satu pakej rangsangan untuk para peniaga tempatan dengan manfaat seperti bayaran komisen sifar, dan insentif lain, termasuk pengecualian yuran pembayaran 2%, serta kredit iklan percuma bernilai RM150. Pakar yang berdedikasi juga akan membantu untuk membimbing usahawan digital yang baharu menyertai Lazada, demi memastikan proses induksi yang mantap, terutamanya dalam tempoh tiga bulan pertama. Sebagai alternatif, para pelajar yang menyertai program Lazada4Youth juga boleh memilih untuk berkecimpung dalam Program Pemasaran Gabungan (Affiliate Marketing Programme) yang membolehkan mereka memperolehi pendapatan sampingan dengan mengoptimumkan media sosial mereka.

Pada masa hadapan, Lazada4Youth akan terus dibangunkan dan sesi bengkel akan digerakkan di seluruh negara dengan mendekati pelajar di kampus UiTM yang lain di Wilayah Selatan dan Utara, serta Malaysia Timur, diikuti dengan kolaborasi bersama universiti tempatan lain.


Kandungan ini disediakan oleh Lazada Malaysia.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS