Trend peningkatan harga barangan makanan dan perkhidmatan asas adalah antara perkara yang menjadi masalah utama membelenggu kebanyakan rakyat Malaysia. Masalah ini turut memberi impak kepada tekanan kos sara hidup rakyat ketika ini.
Dalam keadaan sekarang, setiap sen yang dikeluarkan daripada poket perlu dibuat dengan cukup berhati-hati meskipun untuk membeli barangan keperluan asas. Tahun lalu sahaja, Malaysia telah menyaksikan beberapa insiden kenaikan harga barangan, khususnya melibatkan keperluan makanan asasi rakyat seperti ayam, ikan dan daging.
Peningkatan harga barang ini adalah disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya adalah peningkatan permintaan barangan, harga minyak global yang semakin meningkat, gangguan terhadap rantaian bekalan dan banyak lagi.
Tindakan dan inisiatif pemantauan harga makanan dan bekalan barangan keperluan asas mesti segera dipertingkatkan.
Gangguan rantaian bekalan
Menurut penjual daging di Pasar Besar Jalan Othman, Zulkarnain Shahbari,
masalah harga barangan meningkat adalah disebabkan oleh kos yang ditanggung di
pelbagai peringkat rantaian bekalan sebelum sampai kepada peniaga. Penternak
dan pemborong ada kos yang ditetapkan. Jadi bila sampai kepada peniaga, harga
menjadi tinggi.
Kuasa beli segelintir rakyat sekarang berada pada tahap yang genting dan tanpa intervensi daripada kerajaan, mereka akan berisiko hidup dalam kelaparan.
Harga sayur-sayuran semakin menurun
“Sekarang ini bekalan sayur-sayuran di Pasar Besar Jalan Othman dilihat dapat menampung permintaan pengguna selain harganya semakin menurun. Kebanyakan peniaga juga tidak berdepan masalah mendapatkan bekalan daripada pemborong bagi menampung permintaan pengguna,” kata Fikri Misnon, penjual sayur.
"Bekalan dan harga sayur sememangnya akan ada naik turun dan ia adalah perkara biasa terutamanya apabila tiba musim perayaan. Namun sayur-sayuran yang dikawal seperti tomato, terung panjang, cili masih mahal kerana dibekalkan dari Selayang dan juga kerana bencana banjir telah menyebabkan banyak pokok mati dan tidak subur,” katanya.
“Kebanyakan rakyat Malaysia selalu meluahkan rasa tidak puas hati kepada peniaga tanpa memahami ekosistem perniagaan. Masalahnya, kita sentiasa lihat satu pihak saja tanpa mengkaji punca kenaikan harga. Terdapat pihak pembekal dan pemborong yang juga memainkan peranan dalam penentuan harga dan ini yang akan menyebabkan penjual tidak mempunyai pilihan untuk meletakkan harga tersebut,’’ kata Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS).
Kenaikan harga barang perlu dipantau dengan teliti oleh KPDNHEP dan pihak yang bertanggungjawab supaya tidak menjejaskan kehidupan isi rumah berpendapatan kecil dan keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
This content is provided by 99 Media.