Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
UEM Sunrise memberikan sokongan kepada komuniti sekitar Lembah Klang melalui Program Bantuan Covid-19
Diterbitkan:  Sep 27, 2021 3:04 PM
Dikemaskini: 7:04 AM

UEM Sunrise Berhad ("UEM Sunrise" atau "Syarikat"), salah satu pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, bersama Yayasan UEM yang merupakan sayap peneraju tanggungjawab sosial korporat (CSR) UEM Group Berhad, telah menjalankan Program Bantuan Keperluan Asas Covid-19, suatu inisiatif sumbangan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar Lembah Klang yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Program ini adalah sebahagian daripada tindak balas kemanusiaan secara kolektif dan inisiatif sosial yang diketuai oleh Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) (GDRN) yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah dan Yayasan TM sebagai sekretariat bersama. Pakej bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (PERMAI), adalah inisiatif yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan untuk memerangi Covid-19 dan menjamin kesejahteraan rakyat yang terjejas teruk akibat wabak tersebut.

Dengan bantuan seramai lebih 60 orang sukarelawan UEM Sunrise, Program Bantuan Keperluan Asas COVID-19 ini telah memberikan manfaat kepada 1,000 buah keluarga di sekitar Lembah Klang yang merangkumi golongan warga emas di rumah warga tua, kanak-kanak di rumah anak yatim, dan termasuk golongan yang kurang berkemampuan dalam pelbagai komuniti setempat.

“Aktiviti sukarelawan ini telah sebati dengan DNA syarikat di mana ianya selaras dengan nilai-nilai teras C.H.I.E.F. Syarikat, singkatan bagi Caring, Honest, Involved, Enthusiastic, dan Fun-loving. Melihat senyuman mereka yang menerima bantuan ini telah memberi inspirasi kepada kami untuk terus berusaha bagi membantu golongan yang memerlukan. Kami sentiasa komited untuk mengenal pasti dan memberikan bantuan kepada masyarakat di sekitar pembangunan kami, terutama dalam tempoh yang sukar ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah.

Berikutan beberapa kelonggaran sekatan jalan raya di sekitar Lembah Klang melalui Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), unit tanggungjawab sosial korporat (CSR) Syarikat bersama-sama sukarelawan telah berjaya mengagihkan pelbagai barangan keperluan asas yang mengandungi beras, minyak masak, set cadar dan selimut tebal, sabun basuh dan ubat serta berus gigi di lapan lokasi selama empat minggu berturut-turut.

Pengagihan ini bermula pada 18 Ogos di dua rumah jagaan – Pusat Jagaan Mahmudah di Bangi dan Pusat Jagaan Nur Hasanah di Beranang di mana sebanyak 35 set barangan keperluan telah diberikan. Para sukarelawan Syarikat sentiasa mematuhi SOP sepanjang proses penyerahan dalam usaha untuk membendung penularan COVID-19 kepada golongan yang berisiko tinggi.

Beberapa hari kemudian pada 21 Ogos, unit tanggungjawab sosial korporat (CSR), bersama-sama unit pemasaran dari Serene Heights, Bangi, bekerjasama menyusun dan mengagihkan barangan keperluan asas di Serene Heights Sales Gallery untuk disumbangkan kepada masyarakat setempat yang memberikan manfaat kepada 400 buah keluarga. Memastikan SOP sentiasa dipatuhi sepanjang program, sukarelawan UEM Sunrise mengagihkan barangan keperluan melalui kaedah pandu lalu di mana barangan tersebut dimasukkan terus ke dalam kereta setiap penerima.

Pada 25 Ogos, program diteruskan dengan lawatan ke Rumah Titian Kasih, Jalan Duta di mana mereka menyumbangkan sebanyak 25 set barangan keperluan asas kepada penghuninya. Manakala sebanyak 25 set lagi diagihkan kepada Persatuan Kebajikan Warga Tua & Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan di Kepong. Masyarakat Orang Asal juga tidak dilupakan, UEM Sunrise menyerahkan sebanyak 40 set barangan keperluan asas kepada Tok Batin Kampung Orang Asal Bukit Lagong di Selayang yang kemudiannya akan diagihkan kepada penduduk kampung.

Minggu berikutnya pada 4 September, UEM Sunrise dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor telah memberikan bantuan kepada masyarakat kurang berkemampuan di sekitar Masjid Baitul Mahabbah di Seksyen 27, Shah Alam. Seperti mana di Serene Heights Sales Gallery, program bermula dengan aktiviti penyusunan dan seterusnya pengagihan sebanyak 245 set barangan keperluan melalui kaedah pandu lalu yang dapat mengurangkan pergerakan para penerima.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UEM Sunrise di atas langkah proaktif yang diambil untuk mengenal pasti keperluan masyarakat dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Sumbangan ini membawa seribu makna, terutamanya buat keluarga yang terputus sumber pendapatan dan saya berharap lebih banyak organisasi boleh menyalurkan bantuan kepada golongan yang susah. Walaupun ekonomi semakin beransur pulih, ramai rakyat Malaysia yang masih berada dalam kesulitan dan ini merupakan tanggungjawab kita untuk menghulurkan bantuan kepada mereka," kata Hasan Basri, penjaga Rumah Titian Kasih di Kuala Lumpur.

Unit CSR UEM Sunrise dan para sukarelawan menamatkan program ini di lokasi terakhir, iaitu di Surau Ar Rayyan Precinct 6, Putrajaya pada 11 September 2021. Kali ini dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang turut membantu menyusun barangan keperluan yang akan diagihkan kepada 230 keluarga di kawasan ini.

UEM Sunrise sebelum ini telah menganjurkan sebanyak enam program CSR sejak awal tahun termasuk pengagihan barangan keperluan ke Kampung Orang Asal Simpang Arang di Gelang Patah, Johor, sumbangan wang tunai kepada Pertubuhan Anak Yatim Nur Kasih Bestari di Kajang, Selangor bersempena Hari Raya Aidilfitri dan sumbangan Tahun Baru Cina kepada Persatuan Kebajikan Orang Tua Ceria di Johor.


Kandungan ini disediakan oleh UEM Sunrise.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS