mk-logo
Pengumuman
Cucuk Vaksin, Jadi Hero bersama Papa Zola!
Diterbitkan:  Jul 19, 2021 6:49 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Bersempena dengan saranan kerajaan kepada rakyat Malaysia untuk segera mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi ‘Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)’, pihak Monsta telah mengambil inisiatif sendiri untuk menerbitkan satu video pendek yang mengajak orang ramai mendapatkan vaksin mereka.

Video pendek khas dari siri animasi popular Papa Pipi memaparkan ragam Papa Zola yang amat takut menghadap jarum dan apa jua jenis suntikan. Namun demi melindungi kesejahteraan anaknya Pipi Zola serta seisi keluarga, Papa Zola menggagahkan dirinya untuk tetap pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mendapatkan dos suntikan.

Turut hadir ke PPV tersebut adalah atuk kandung kepada superhero tempatan BoBoiBoy iaitu Tok Aba, sebagai salah seorang penerima vaksin yang di dalam golongan warga emas yang berisiko tinggi.

“Virus COVID-19 ini merebak pada setiap detik, maka pengambilan vaksin adalah penting kerana ia berfungsi mencegah penyebaran penyakit berjangkit dan berbahaya.

Sebagai sebuah jenama yang begitu sinonim dengan mesej kekeluargaan dan melindungi diri, serta yang tersayang dari ancaman musuh — Monsta menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan penerimaan vaksin di kalangan rakyat Malaysia bagi mencapai imuniti kelompok (herd immunity) dengan kadar segera,” kata Ketua Jenama dan Jualan Antarabangsa, Monsta, Faiz Zainal Aabidin.

Video pendek tersebut boleh ditonton di saluran Youtube rasmi Monsta, atau di halaman media sosial Papa Pipi dan BoBoiBoy dengan tanda pagar #CucukVaksinJadiHero. Ia turut ditayangkan di stesen televisyen tempatan dan di siarkan di saluran televisyen negara tetangga, Indonesia.

Maka, ayuhlah kita daftarkan diri untuk mendapatkan vaksin melalui aplikasi MySejahtera atau dimana-mana klinik awam dan swasta terdekat yang turut menyediakan khidmat pemberian vaksin. Bagi mereka yang sudah menerima suntikan vaksin dos pertama atau kedua, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah. Lindung diri, lindung semua. Anda memang terbaik!


Kandungan ini disediakan oleh Animonsta Studios Sdn. Bhd.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS