Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuka permohonan kemudahan i-Sinar KWSP kepada dua kategori pencarum yang membabitkan sejumlah 8 juta ahli yang layak bagi membantu mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19.
Namun sebelum anda berbuat demikian, tiga persoalan penting di sini yang perlu anda jawab ialah: (1) Bolehkah simpanan persaraan KWSP anda bertahan sekian lama? (2) Adakah anda hanya bergantung kepada simpanan KWSP untuk membiayai persaraan anda? (3) Apakah tujuan anda mengeluarkan simpanan KWSP sebelum persaraan anda?
Kaji situasi semasa anda
Menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pengeluaran i-Sinar KWSP hanya untuk tujuan yang begitu mendesak sahaja kerana kepentingan bersara juga tidak boleh diabaikan.
“Ia amat berguna bagi mereka yang betul-betul kesempitan wang akibat kehilangan pekerjaan atau pengurangan gaji. Namun wang KWSP ini terutamanya Akaun 1 adalah untuk kegunaan semasa bersara atau sekurang-kurangnya seseorang ahli itu telah mencapai umur 50 tahun yang mana sebahagian wang di dalam Akaun 1 ini boleh dikeluarkan,” ujar beliau sambil menyarankan mereka yang ingin berbuat demikian mencari alternatif lain yang lebih baik terlebih dahulu supaya simpanan hari tua lebih terpelihara.
Afzanizam turut mengingatkan terutamanya pekerja swasta untuk mengambil pertimbangan teliti terhadap keselesaan kewangan persaraan mereka.
“Penggunaan seperti perbelanjaan harian, perubatan dan sebagainya apabila seseorang itu bersara kelak adalah sama-sama penting. Ahli-ahli KWSP sektor swasta khususnya tidak mempunyai pencen seperti kakitangan awam. Sekiranya wang KWSP ini tidak dipelihara dengan baik, dikhuatiri mereka bakal menghadapi masalah kewangan ketika bersara nanti,” kata beliau.
Mengimbangi keperluan semasa dan kepentingan persaraan
Tafsiran statistik berikut dapat membantu anda membuat pertimbangan mendalam mengenai kewajaran dan kesesuaian i-Sinar KWSP.
BERNAMA melaporkan lebih 50% (137,000 daripada 245,000) pencarum KWSP berusia 54 tahun menunjukkan simpanan KWSP kurang daripada RM50,000 untuk menampung kehidupan persaraan mereka. Lebih membimbangkan, seramai 43% (5.38 juta ahli) yang berusia di bawah 55 tahun menunjukkan simpanan kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1 mereka.
Berdasarkan purata jangka hayat rakyat Malaysia yang mencecah 75 tahun, sekiranya anda memilih untuk bersara atau mengeluarkan simpanan KWSP menjelang sama ada usia 55 tahun ataupun 65 tahun, mengharungi tempoh persaraan sekurang-kurangnya 20 tahun atau 10 tahun masing-masing dengan simpanan kurang daripada RM50,000 adalah amat mencabar atau tidak memadai, memandangkan seramai 70% daripada ahli KWSP berumur 55 - 60 tahun memilih melakukan pengeluaran sekali gus di mana ada antara mereka yang menghabiskannya dalam tempoh sesingkat 3 - 5 tahun.
KWSP mensasarkan simpanan minimum ahli pada RM240,000 (Simpanan Asas) apabila mereka mencecah umur 55 tahun. Simpanan Asas di sini merujuk kepada jumlah simpanan minimum untuk menampung keperluan asas persaraan selama 20 tahun, iaitu daripada umur 55 tahun sehingga umur 75 tahun, selaras dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia.
Adakah anda kehilangan kerja atau dibelenggui potongan gaji mendadak?
Gambaran daripada orang awam Dawson Yeang menyifatkan bahawa mereka yang kehilangan kerja atau dengan pendapatan terjejas teruk sememangnya boleh memanfaatkan kemudahan i-Sinar.
“Ia dapat membantu mereka yang susah meneruskan kehidupan seperti biasa, sehingga menghadapi kesusahan membeli makanan, barang keperluan harian dan membayar yuran atau sewa rumah dan lain-lain,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Yeang turut menitikberatkan tujuan utama KWSP untuk memelihara kepentingan masa hadapan apabila bersara.
“Jika tidak sampai keadaan terdesak jangan pula kita sentuhnya selagi keupayaan fizikal dan faktor usia kita masih mengizinkan untuk mencari nafkah hidup alternatif kerana selepas menjangkaui usia persaraan, ia amatlah sukar untuk mendapat perkerjaan lagi,” ingat beliau.
Pandangan Yeang disokong oleh Muhamad Ameer Asyraff bin A.Raman yang mana beliau percaya i-Sinar dapat menampung perbelanjaan harian yang tidak dapat dielakkan apabila seseorang itu terdesak meneruskan kehidupan seperti biasa selepas kehilangan punca mata pencarian khususnya penganggur.
“Walau bagaimanapun, i-Sinar seharusnya menjadi pilihan terakhir kerana kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan hari tua yang mencukupi. Kemudahan itu hanya lebih wajar untuk mereka yang betul-betul terjejas akibat pandemik Covid-19 yang berpanjangan ini,” tegas beliau.
Pertimbangan mendalam demi hari tua
Memang benar simpanan KWSP merupakan hasil titik peluh anda dan anda berhak menggunakannya sebaik yang mungkin. Namun pokoknya, KWSP adalah dana persaraan untuk hari tua anda. Bayangkanlah, tanpa penguatkuasaan simpanan KWSP di sisi undang-undang, sejauh manakah kita mempunyai disiplin menyimpan secara konsisten untuk hari tua kita?
Begitu memilukan melihat warga emas yang tidak dapat menikmati persaraan mereka sepenunya kerana mereka terpaksa bekerja lagi untuk menampung kehidupan mereka disebabkan kehausan simpanan KWSP. Malah, adalah susah untuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas mendapat pekerjaan kerana faktor usia tidak menyebelahi mereka lagi.
Kemudahan kecemasan seperti i-Sinar KWSP yang direstui kerajaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya hanya untuk keperluan asas bagi anda yang betul-betul tiada pilihan. Pertimbangan anda perlu mengambil kira keselesaan kewangan hari tua anda supaya anda tidak terjebak dalam kemelut kemiskinan menjelang persaraan nanti.
Jangan lupa pulangan pelaburan
Untuk pengetahuan umum, semua caruman KWSP akan dibayar dividen pelaburan dan dijamin oleh kerajaan pada kadar minimum 2.50% setiap tahun bagi Simpanan Konvensional seperti yang dimandatkan mengikut Akta KWSP 1991. Pengurangan simpanan keseluruhan bermakna pengurangan pulangan dividen keseluruhan yang amat berguna untuk hari tua anda.
Moga-moga anda membuat keputusan yang wajar dan bijak untuk kehidupan yang lebih terjamin.
Sumber Rujukan: KWSP