Paling Popular
Terkini
mk-logo
Advertorial
Gunakan kuasa beli pengguna di sebalik angka inflasi
Diterbitkan:  Nov 8, 2021 12:43 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

Tahukah anda harga roti canai kosong sekarang adalah antara RM1.20 dan RM1.80 sekeping? Makanan Keluarga Malaysia penghubung budaya dan bangsa ini pada tahun 80an hanya dijual pada harga RM0.50 sekeping!

Fenomena ini dikenali sebagai inflasi, iaitu kenaikan harga yang berlaku pada barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa – satu realiti kehidupan yang tidak dapat dielakkan, malah mengiringi perjalanan kehidupan kita zaman berzaman. Walau bagaimanapun, inflasi harus kita fahami dengan lebih mendalam sambil merongkainya dengan minda terbuka.

Pemahaman di sebalik angka inflasi

Setiap bulan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan mengeluarkan maklumat berkenaan inflasi negara. Kadar inflasi lazimnya diukur melalui pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi perubahan harga item-item di dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa.

Terdapat 12 kumpulan utama dalam pengkelasan IHP yang melibatkan sejumlah 552 barangan dan perkhidmatan dengan 781 spesifikasi dikutip setiap bulan, di seluruh negara dari lebih kurang 21,800 premis atau kedai terpilih.

Pengkelasan item IHP

Setiap barangan dan perkhidmatan akan dikelaskan kepada kelas perbelanjaan kemudian disusun mengikut sub-kumpulan dan seterusnya dikategorikan kepada 12 kumpulan utama.

Dengan memetik satu barangan contohnya, Ikan Tenggiri dikelaskan dalam perbelanjaan Ikan Segar dan seterusnya dikategorikan dalam sub-kumpulan Ikan & Makanan Laut yang merupakan dalam Kumpulan Utama Makanan & Minuman Bukan Alkohol.

Bayangkan anda sebagai seorang pengguna yang berkunjung ke sebuah pasar basah atau pasaraya untuk membeli makanan masakan harian dan anda memilih ikan tenggiri segar pada akhirnya. Pembelian anda melibatkan setiap proses pengkelasan yang dibincangkan di sini dan harga yang anda bayar merupakan sebahagian daripada sampel data yang dikumpul untuk menjana IHP bagi laporan kadar inflasi bulanan.

Setiap item spesifikasi barangan dan perkhidmatan mempunyai kadar inflasi masing-masing dan kadar inflasi itu terdapat di setiap peringkat pengkelasan item, kelas perbelanjaan, sub-kumpulan sehingga ke kumpulan utama.

70% perbelanjaan isi rumah dalam 3 kumpulan ini

Menurut DOSM, daripada 12 kumpulan utama, terdapat 3 kumpulan yang mempunyai wajaran (nilai pemberat) yang tertinggi iaitu Makanan & Minuman Bukan Alkohol (29.5%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (23.8%) dan Pengangkutan (14.6%) yang mewakili hampir 70% perbelanjaan keseluruhan isi rumah kita. Bermakna setiap RM1,000 yang anda miliki, RM700 akan digunakan untuk membeli atau melunaskan ketiga-tiga perkara tersebut. Baki RM300 adalah pendapatan boleh guna untuk kegunaan lain atau simpanan.

Wajaran ini menunjukkan kecenderungan pengguna terhadap pembelian sesuatu barangan atau perkhidmatan. Bermaksud, semakin banyak perbelanjaan isi rumah ke atas item tertentu, maka semakin tinggi nilai peratus pemberatnya.

Sebagai contoh, sekiranya anda berulang-alik ke pejabat dengan menggunakan kereta (Kumpulan Pengangkutan), kenaikan atau penurunan harga runcit petrol terutama RON95 akan memberi kesan yang ketara kepada perbelanjaan bulanan anda.

Contoh lain yang turut memberi kesan terhadap perbelanjaan keseluruhan anda pada setiap bulan antaranya perbelanjaan barangan makanan (Kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol) seperti beras, ikan, ayam, sayur mahupun makanan siap masak seperti roti canai dan nasi lemak serta perbelanjaan sewa rumah dan bil utiliti (Kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain).

Bagaimana anda mentafsir inflasi?

Apa yang menarik tetapi sentiasa diabaikan adalah ramai yang beranggapan bahawa apabila laporan kadar inflasi menunjukkan peningkatan, bermakna harga bagi semua barangan dan perkhidmatan telah naik dan menjadi semakin mahal. Adakah tanggapan ini benar?

Tidak!

Seperti yang telah diterangkan, setiap item barangan dan perkhidmatan mempunyai kadar inflasi masing-masing. Pertama, apabila inflasi keseluruhan pada bulan tertentu mencatatkan peningkatan, tidak bermakna kesemua barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan itu pada turut mengalami kenaikan harga pada bulan tersebut.

Kedua, anda tidak membeli semua barangan dan perkhidmatan yang melibatkan kesemua kumpulan utama tersebut. Anda membeli mengikut keperluan anda dalam bulan tertentu sahaja.

Peranan pengguna sebagai kuasa beli

Jadi, sebagai seorang pengguna, apa yang boleh anda lakukan untuk tidak terkesan dengan inflasi atau meminimumkan impak inflasi?

Pertama sekali, anda mempunyai hak memilih dan membuat keputusan berdasarkan kemunasabahan harga, kuantiti yang sewajarnya, kesetaraan kualiti dan tawaran alternatif (barangan pengganti) yang sedia ada.

Untuk menjadi seorang pengguna yang bijak, anda perlu merubah tingkat laku pengguna anada terutama corak pembelian dengan mengutamakan barangan keperluan (need) dan bukannya berdasarkan kehendak (want) semata. Elakkan pembelian panik dan pembelian gerak hati kerena bila ramai pengguna melakukannya, ini akan melonjakkan harga! Bertenang dan berfikir dahulu sebelum belanja. Buang tabiat berbelanja sesuka hati dan tanpa perancangan terutama uyang di luar dengan kemampuan anda.

Sebagai contoh, “Makcik Kiah gemar membeli bawang kecil merah (rose) India untuk masakan beliau. Bila harga bawang tersebut didapati mahal pada ketika itu kerana masalah bekalan disebabkan masalah banjir di negara pengeksport, Makcik Kiah harus bersedia untuk membeli bawang kecil merah alternatif seperti bawang kecil Myanmar yang harganya jauh lebih murah. ”

Perubahan gelagat pembelian seperti yang dilakukan oleh “Makcik Kiah” dan perubahan citarasa boleh juga berlaku kepada pengguna-pengguna lain dan ini akan sedikit sebanyak dapat mempengaruhi permintaan terhadap sesuatu barang di pasaran. Seterusnya impak kepada pengurangan permintaan pengguna ini akan dapat membantu mengawal harga di pasaran.

Banding harga sebelum beli

Aplikasi mudah alih PriceCatcher yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membolehkan anda membuat perbandingan harga merangkumi lebih 400 barangan keperluan harian.

Ia merupakan hasil usaha daripada lebih 1,000 Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP yang mengumpul maklumat harga harian di premis peruncitan di suluruh Malaysia, termasuk hypermarket, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pasar basah.

Pengguna bijak haru sedar mereka sebenarnya mempunyai pilihan dan ‘kuasa beli’ dalam mencorak permintaan dan penawaran di pasaran yang mampu mempengaruhi turun naik harga barangan dan perkhidmatan.

Untuk maklumat lanjut mengenari kesedaran kepenggunaan, sila layari laman web KPDNHEP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS