Paling Popular
Terkini
mk-logo
Advertorial
Lapan beradik yatim piatu akibat Covid-19 menerima bantuan daripada PERKESO
Diterbitkan:  Aug 24, 2021 9:19 PM
Dikemaskini: 1:45 PM

Besar dugaan buat lapan beradik berusia 19 hingga 4 tahun apabila kehilangan kedua ibu bapa mereka dalam tempoh yang singkat akibat Covid-19.

Episod duka yang menimpa lapan beradik tersebut bermula sejak lebih sebulan yang lalu apabila bapa mereka Allahyarham Ben Yajeed Bin Bernie, 45 meninggal dunia pada 16 Julai di Hospital Selayang manakala ibu mereka, Allahyarhamah Noraini Binti Ibrahim menghembuskan nafas terakhir dua hari kemudian di Hospital Sungai Buloh akibat Covid-19. Berdasarkan laporan, arwah Ben Yajeed positif Covid-19 setelah dijangkiti virus berkenaan daripada isterinya yang terkena jangkitan di tempat kerja.

Anak sulung mangsa, Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, bersama tujuh adiknya kini tinggal di rumah sewa saudara mereka di Bukit Beruntung, Rawang. Pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Politeknik Mersing itu juga sudah dipindahkan ke Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang, Perak pada minggu lalu bagi memudahkannya menjaga adik-adiknya. “Walau apa pun terjadi, saya tetap akan jaga adik-adik saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari Selasa.

Nasib mereka mendapat pembelaan apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan. Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Bin Dato’ Aziz Mohammed berkata, sejurus mendapat berita mengenai kisah dukacita yang menimpa keluarga berkenaan, Skuad PERKESO Prihatin segera menyemak rekod caruman pasangan terbabit dengan proaktif dan mendapati mangsa merupakan pencarum PERKESO dan memenuhi syarat kelayakan faedah yang ditetapkan.

Kesemua lapan beradik tersebut telah mula menerima Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan bagi arwah ayahnya dan juga layak untuk menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim Bencana Pekerjaan bagi arwah ibu mereka. “Kedua-dua bantuan faedah ini telah mula dibayar secara bulanan kepada lapan beradik tersebut sehingga mereka mencapai usia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama. Ini untuk memastikan kebajikan anak-anak mangsa tidak diabaikan,” kata Dr. Mohammed Azman. Keluarga tersebut juga telah menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM 4,000 untuk meringankan beban mereka.

Semasa majlis ziarah tersebut juga, pihak PERKESO telah membuat penyerahan bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) yang layak diterima oleh ibu waris untuk tempoh sepanjang arwah dirawat di hospital, selain turut menyampaikan Kotak Prihatin yang mengandungi barangan keperluan harian kepada keluarga tersebut.

Turut hadir untuk sesi penyerahan faedah PERKESO ialah Ketua Pegawai Komunikasi, Encik Izad Haji Raya; Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi, Encik Ismail Bin Abi Hashim; Pengarah PERKESO Negeri Selangor, Encik Zainol Bin Abu dan Pengurus PERKESO Rawang, Khairul Mizan Bin Md Said.

Menurut Dr. Mohammed Azman lagi, setakat ini, faedah yang telah PERKESO sampaikan kepada mangsa akibat pandemik Covid-19 ini adalah sebanyak 11,713 kes dengan jumlah bayaran sebanyak RM 11,117,702.96.

“Sejak ditubuhkan pada 2016, Skuad PERKESO Prihatin sentiasa memastikan mangsa menerima bantuan dan faedah tanpa perlu memohon di pejabat PERKESO. Pegawai PERKESO akan hadir ke rumah waris untuk mendapatkan nombor kad pengenalan dan menyemak rekod dan sekiranya layak, kita akan proses bayaran faedah mereka dengan serta merta dan membuat pembayaran dengan segera,” ujarnya.

***

PERKESO membawakan The International Public Employment Forum 2021 (IPEF 2021) yang berlangsung pada 6 - 9 September 2021.

Daftar di http://www.perkeso.gov.my/ipef sebelum 2 September 2021.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS