KPJ Healthcare University College (KPJUC) telah mencatatkan pelbagai pencapaian besar dalam tahun 2019, termasuklah kejayaannya sebagai satu-satunya institusi pengajian swasta di Malaysia yang melahirkan graduan-graduan di peringkat Doktor Falsafah Kejururawatan.
Konvokesyen kali ini juga turut menyaksikan pengiktirafan 4 orang graduan dianugerahkan Sarjana Kepakaran Radiologi. KPJUC merupakan institut pengajian tinggi swasta pertama yang melahirkan graduan sarjana kepakaran dalam bidang Radiologi.
Di majlis ini, KPJUC telah menyampaikan watiqah perlantikan kepada Canselor baru KPJUC, YBhg. Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir.
KPJUC ialah sebuah institusi pendidikan tinggi dibawah naungan KPJ Healthare Berhad yang juga merangkumi Kolej Antarabangsa Kejururawatan dan Sains Kesihatan KPJ Johor Bahru (KPJIC JB), Kolej Antarabangsa Kejururawatan dan Sains Kesihatan KPJ Pulau Pinang (KPJIC Penang) dan Kolej Hospitaliti dan Pengurusan Malaysia (MCHM).
Seramai 918 orang graduan dari empat (4) institusi dalam kumpulan KPJ yang menerima ijazah dari Canselor KPJUC, YBhg. Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir. Mereka terdiri dari 630 graduan dari KPJUC, 155 graduan dari KPJIC JB, 85 orang dari KPJIC Penang dan 48 orang dari MCHM. Majlis konvokesyen kali ke-23 ini juga meraikan kejayaan graduan pelbagai program dari Pusat Pengajian Perubatan, Kejururawatan, Farmasi, Sains Kesihatan, Hospitaliti dan Pengurusan serta Pentadbiran Perniagaan.
Selain dari program-program sepenuh masa tersebut, KPJUC turut menawarkan program separuh masa, mengambil kira dan mengiktiraf kemahiran dan pengetahuan berasaskan pengalaman terdahulu. Kaedah yang dipanggil APEL ini (Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Terdahulu) membolehkan lebih ramai individu berkelayakan untuk menjadi professional perubatan yang diktiraf.
Pencapaian cemerlang graduan KPJUC juga dibantu oleh 28 hospital pakar KPJ, dengan menggabungkan asas pembelajaran yang seimbang merangkumi lima puluh peratus (50%) dari latihan praktikal dan lima puluh peratus (50%) dari pembelajaran teori. Ini dapat memastikan graduan KPJUC mendapat pendedahan kepada persekitaran kerja yang sebenar sepanjang proses pembelajaran di KPJUC. Selain itu, rangkaian hospital pakar KPJ juga digunakan sebagai pusat latihan praktikal dan pembelajaran oleh para pelajar KPJUC. Graduan KPJUC juga dibimbing oleh lebih 1,000 pakar yang terdiri daripada doktor pakar, jururawat berpengalaman, pakar sains kesihatan dan pelatih klinikal yang terlatih.
Demi meningkatkan lagi kolaborasi KPJUC dengan hospital - hospital KPJ demi manfaat graduan KPJUC, Hospital Pakar KPJ Seremban (KPJ SSH) telah diiktiraf sebagai Pusat Kesihatan Akademik (AHC). KPJ SSH akan menjadi pemangkin untuk menyediakan aktiviti penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran di hospital KPJ SSH. AHC adalah institusi yang mengintegrasikan pusat pengajian perubatan, dengan ‘teaching hospital’. Kerjasama ini akan mengumpulkan pakar akademik dan pakar kesihatan dalam meningkatkan mutu industri kesihatan di Malaysia dan negara serantau. Ini adalah permulaan pelan penaiktarafan kolaborasi antara KPJUC dan Hospital Pakar KPJ, pada masa hadapan, akan lebih banyak Hospital Pakar KPJ diiktiraf sebagai AHC.