Bukan mudah menongkah arus melawan persepsi negatif. Apatah lagi mengidamkan persekitaran yang kondusif untuk melebarkan sayap. Meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan industri kreatif memerlukan penghasilan produk-produk seni yang berkualiti dan berdaya saing tinggi.
Potensi sejagat industri kreatif
Dengan pengumuman Kerajaan memperuntukan RM5juta kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) melalui Bajet 2020 secara langsung membuka ruang dan peluang kepada kelompok masyarakat yang berhasrat untuk meneruskan mencipta karya dalam aspek seni, budaya dan warisan.
Ianya mampu menghasilkan kelompok karyawan kreatif mengeksport produk ke pasaran negara-negara ASEAN dan dunia keseluruhannya.
Perkembangan ekonomi global semasa menunjukkan bahawa industri kreatif adalah ekonomi baru yang berpotensi besar menjana pendapatan tinggi untuk membentuk ekonomi yang lebih dinamik. Ia merupakan salah satu sumber pertumbuhan ekonomi penting di negara-negara maju dan sedang membangun.
Laporan UNCTAD menjurus kepada penghasilan produk kreatif bernilai USD509 bilion bagi tahun 2015 yang mewakili pertumbuhan tahunan purata sebanyak 7% bermula dari tahun 2002. Industri kreatif dijangka menyumbang sebanyak 15% kepada KDNK global. Ia turut mewujudkan lebih daripada 13 juta peluang pekerjaan di rantau Asia Pasifik, sebagai contohnya.
Malaysia merupakan salah satu daripada 10 penyumbang utama antara negara-negara membangun yang menggiatkan industri kreatif di mana ia menjana pulangan sebanyak RM11 billion kepada ekonomi negara ataupun 2% daripada ekonomi Kuala Lumpur berserta 86,000 peluang pekerjaan. Industri ini adalah penting berbanding dengan sektor-sektor lain yang kini sedang mengurangkan tenaga kerja disebabkan kemajuan teknologi dan inovasi. Ekonomi kreatif adalah sektor yang memerlukan tenaga pekerja yang banyak serta berimaginatif.
Kerajaan mensasarkan penjanaan 125,000 peluang pekerjaan ataupun 3% daripada KDNK Kuala Lumpur menjelang tahun 2022 di bawah Pelan Pembangunan CENDANA (2017 – 2022) yang bakal memanfaatkan penggiat seni budaya berskala kecil dan sederhana.
Sektor-sektor yang diberi perhatian utama ialah seni persembahan, seni visual dan seni muzik.
Dan kita mampu melangkah jauh kerana negara kita tidak ketandusan bakat. Tambahan pula, sifat-sifat kemajmukan Malaysia bukan sahaja menjanjikan kekayaan idea, malah memupuk persefahaman budaya sesama insan yang berasal dari pelusuk dan latarbelakang berlainan.
Sekumpulan Orang Gila (SOG) [Seni Muzik]
Seni sentiasa berubah kerana kreativiti sememangnya tidak terbatas. Falsafah sebeginilah yang membakar semangat Sekumpulan Orang Gila (SOG), sebuah kumpulan muzik bebas (indie) tempatan yang dibarisi lima bakat muda - Riko Agus, Raja Nazrin Shah, Raja Nazmin Shah, Abdul Qayyum, dan Amsyar Saiful.
Menyelami dunia muzik mereka, kita bakal direntakkan melodi ‘post-hardcore’ (salah satu aliran punk rock) yang berintegrasikan unsur-unsur 'konvensional' dan 'tidak konvensional', 'tradisional' dan 'moden', berserta penghasilan muzik ‘lain daripada yang lain’.
Lagu-lagu SOG yang mengandungi irama Malaysia memainkan peranan penting untuk memupuk penghayatan terhadap warisan seni negara memandangkan generasi muda zaman ini begitu menggemari muzik luar.
Reputasi antarabangsa SOG melonjak selepas kolaborasi bersama penerbit Perancis di Paris yang diketuai kumpulan post-hardcore tempatan “Chunk! No, Captain Chunk!”.
TerryandTheCuz [Seni Persembahan]
Menghasilkan seni persembahan yang menyentuh jiwa dan batin memerlukan keberanian dan kebijaksanaan kreativiti yang dipimpin daya usaha dan bakat yang tidak terhad. TerryandTheCuz adalah satu teladan yang menyerlah.
Walaupun mengusahakan kedai dobi pada siang hari, namun apabila malam menjelma, TerryandTheCuz mencurahkan sepenuh hati kepada seni persembahan yang menghayati nilai-nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan sejagat.
TerryandTheCuz merupakan entiti pertama dari Malaysia yang membuat persembahan drama pentas di Joe's Pub at The Public Theater, New York City. ‘Thicker Than Water’ yang diperkenalkan pada tahun 2018 kembali untuk kali kedua pada tahun ini atas sanjungan tinggi.
Selain daripada Amerika Syarikat dan Asia, TerryandTheCuz turut mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dengan persembahan-persembahan mengagumkan di Europa dan Australia.
Ajim Juxta [Seni Visual]
Raja Azeem Idzham yang lebih dikenali sebagai ‘Ajim Juxta’ dalam industri seni mula mencipta nama sejak 2011 melalui pameran karya-karya uniknya yang juga bermesejkan nilai-nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan sejagat.
Penerima ‘Khazanah Nasional Associate Artist Residency’ (Acme Studios, London) dan ‘Young Art Taipei’ yang pernah menggilap reputasi selama tiga bulan di Britain itu menegaskan bahawa seni seharusnya boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat semudah dan seramai yang mungkin.
Sama ada lukisan, ukiran atau seni instalasi, karya-karya Ajim bergemakan nada tradisi dan kontemporari seperti pameran ‘Tugu | Ugut’ di Pertubuhan Akitek Malaysia, Bangsar dan Hin Bus Depot, Pulau Pinang. Ajim sentiasa berkolaborasi dengan artis-artis tempatan di mana pamerannya berlangsung.
CENDANA sebagai pemangkin
Memartabatkan warisan seni budaya bukan sahaja memakan masa, tenaga dan wang, malah ia juga memerlukan persefahaman dan penglibatan kesemua pihak berkepentingan.
CENDANA memegang peranan penting untuk memacu pertumbuhan industri kreatif negara melampaui sempadan dengan menambah-nilaikan kesenian yang mewakili daya intelek dan kepelbagaian masyarakat kita melalui Program Pembiayaan CENDANA.
TerryandTheCuz, Ajim Juxta dan SOG adalah antara penerima program tersebut yang bertujuan memasarkan penggiat seni Malaysia yang berbakat di persada antarabangsa.
CENDANA, sebuah unit di bawah MyCreative Ventures (sebuah Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan) yang berlapor kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, beraspirasi untuk menyumbang kepada perkembangan industri kreatif dengan membawa seni dan artis Malaysia ke tahap yang lebih tinggi agar mereka dikenali di tanahair serta di luar negara, sambil mempromosikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya kreatif dan seni budaya.
Kewujudan CENDANA mampu mendorong kesinambungan antara komuniti seni, kerajaan dan korporat untuk memperkasakan industri kreatif kita. Antara usaha yang terdekat termasuk hasil kerja CENDANA dengan artis tempatan melalui program Art In The City di River of Life/ Jalan Raja pada 19 Oktober 2019, 5-11pm. Jumpa di sana!