FGV Holdings Berhad (FGV), menerusi anak syarikatnya Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOP), hari ini melancarkan kempen SAJI Sayangi Sawitku sempena menyokong kempen Sayangi Sawitku oleh Kementerian Industri Utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato’ Haris Fadzilah Hassan berkata, sebagai jenama utama minyak masak di Malaysia, SAJI merupakan produk Halal terbaik bagi menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan penggunaan produk berasaskan sawit. Kami juga melihat kempen ini sebagai penghargaan kepada para pekebun kecil yang menyumbang 70% buah sawit yang diproses FGV.
“Mulai hari ini, logo SAJI Sayangi Sawitku akan dipaparkan pada produk minyak masak SAJI, iklan komersil dan lori tangki FGV.
“Selain itu juga, sempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, FGV turut melancarkan kempen Infak Ramadan SAJI di mana dengan setiap pembelian minyak masak SAJI 5kg, sebanyak 50 sen akan didermakan kepada badan-badan kebajikan tempatan termasuk yang berkaitan dengan peneroka Felda dan badan bantuan kemanusian antarabangsa,” ujar beliau di program yang dirasmikan oleh Menteri Industri Utama YB Puan Teresa Kok.
Sejak tahun lalu, kajian pasaran menunjukkan kadar penggunaan minyak masak sawit tempatan semakin meningkat berbanding minyak masakan lain. Ini dikuatkan lagi dengan kempen kesedaran yang berterusan tentang kualiti minyak sawit yang baik untuk kesihatan dengan harga yang kompetitif.
Pada tahun 2018, SAJI menguasai 27% pasaran minyak masak tempatan tanpa subsidi dan dengan pelancaran kempen baharu ini FGV menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 11.5% berbanding tahun lalu. Bagi program Infak Ramadan SAJI pula, syarikat menjangkakan sebanyak RM300,000 dana dapat dikumpul.