Seramai 1,500 peserta pelbagai latar belakang bakal mengutip manfaat sekali gus memeriahkan Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 dengan tema 'Children Beyond Tomorrow' bermula 31 Mei sehingga 2 Jun ini .
Berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, penganjuran program yang diilhamkan oleh Penaung Program Permata Negara (PERMATA), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor ini direalisasikan buat julung kalinya.
PERMATA yang ditubuhkan sejak 2007 tidak lagi berundur ke belakang, malah terus mengangkat tanggungjawab dalam merealisasikan misi dan visi organisasi yang menjadi tunjang kepada perjuangan memartabatkan pendidikan dan pembangunan anak Malaysia.
Selaras dengan objektifnya, Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 ini bakal menjadi satu wadah untuk mendengar serta mempelajari pengalaman, kepakaran, idea dan pandangan dari mereka yang berpengalaman dalam usaha-usaha pembangunan pendidikan, bakat dan kesihatan kanak-kanak serta generasi muda.
Persidangan ini akan memberi fokus kepada topik-topik yang berkait rapat dengan 7 inisiatif Permata iaitu Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Permata Negara), Bakat dan Kesenian (Permata Seni), Autisme (Permata Kurnia), Pembangunan Insan Melalui Al-Quran dan As-Sunnah (Permata Insan), Pendidikan Khas Untuk Pelajar Pintar (Permata Pintar), Pemerkasaan Remaja (Perkasa@Remaja) dan Kesihatan Kanak-kanak (Hospital Kanak-Kanak Permata). Peserta bakal dihidangkan dengan pengisian menyeluruh melalui sesi forum, diskusi dan bengkel yang akan diadakan secara serentak.
Persidangan ini juga akan turut dilengkapkan lagi dengan sesi 'high level forum' di mana wanita-wanita pertama dari beberapa negara luar akan hadir bagi mengetengahkan suara dan pendapat mereka mengenai kepentingan pembangunan pendidikan kanak-kanak sebagai pelaburan untuk masa depan sesebuah negara.
Seramai 15 penceramah terkemuka dari luar negara dan 33 penceramah tempatan akan memberikan ucapan dan membentangkan kertas kerja mereka pada persidangan ini. Antara penceramah dari luar negara yang akan hadir adalah Prof Francoys Gagne dari Kanada, Prof Edward Melhuish dari England, Prof Dr Siti Chairani Proehoeman dari Indonesia, Dr LaMarr Darnel Shields, Prof Dr Pamela Wolfberg, Dr Andy Shih dari Amerika Syarikat dan Anthony Lloyd Sparnon dari Australia.
Secara umum, peruntukan bagi kualiti ECCE menjadi satu pelaburan penting dalam kesejahteraan sosial, ekonomi dan kesejahteraan menyeluruh sesebuah negara.
Kebanyakan negara khususnya negara-negara maju menyedari betapa pentingnya program ECCE di peringkat dasar.
Justeru, Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 akan memberi penekanan mengenai peri pentingnya perkhidmatan pendidikan serta intervensi berkualiti kepada kanak-kanak dan remaja serta memupuk kesedaran masyarakat dan menambah pemahaman mereka terhadap perkara ini.
Selain itu, penganjur turut menekanankan bagaimana pengalaman zaman kanak-kanak menyumbang kepada kelestarian, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara, kepentingan inovasi, kerjasama, dan amalan terbaik dalam mempromosikan hasil zaman kanak-kanak yang positif serta inisiatif PERMATA dalam pendidikan dan pembangunan kanak-kanak di Malaysia.
Ia turut dijadikan wadah kepada ketujuh-tujuh bidang PERMATA untuk berkongsi inisiatif serta amalan terbaik mereka di dalam memastikan setiap bidang mencapai objektif pelaksanaannya.