Suatu permainan Apple, yang dipercayai diilhamkan dari watak isteri perdana menteri, kini muncul sebagai permainan kedua paling popular di kalangan aplikasi berbayar Malaysia.
Mungkin dengan mengambil kesempatan daripada tumpuan media
terhadap permainan Aku Jimat, syarikat yang membangunkan permainan elektronik itu, Antartica Group, kini mengenakan bayaran AS$0.99 bagi setiap muat-turun.
Harga baru untuk versi 1.1 permainan itu, yang memaparkan watak kartun yang mirip Datin Seri Rosmah Mansor, lengkap dengan model rambutnya, dikenakan semalam.
Permainan tersebut, yang merupakan satu-satunya yang dibangunkan oleh syarikat berkenaan, dan boleh didapati di Apple App Store untuk pengguna iPod, iPad dan iPhone, telah dilancarkan pada 17 Januari.
Ia mendapat perhatian media pada 19 Januari dan terus menjadi rebutan muat-turun permainan tersebut.
Sehingga ini, 154 orang telah memberi permainan tersebut penarafan lima bintang.
Menurut syarikat pemajunya, permainan itu adalah "untuk mendidik anak-anak kepentingan menabung” sejak kecil dan “lebih awal jika seseorang berjimat maka, lebih banyak yang dapat dikumpulkan”.
Dengan tabung berbentuk seekor kucing, pemain dikehendaki
menyambut duit syiling bernilai US$1000 (RM3,100) setiap satu yang digugurkan bagi membuat pembelian - sama ada sebuah rumah bernilai US$5,000,000 (RM15, 000,500) atau kereta berharga US$300,000 (RM10,000).
Pengguna juga boleh membeli mana-mana sembilan beg tangan yang ditawarkan, bernilai antara US$ 9,000 hingga US$ 110,000 (RM27, 900 hingga RM440,000) atau juga cincin berlian bernilai US$24 juta (RM74 juta).
Setiap syiling bernilai $1,000 tetapi jika seseorang itu bernasib baik, jongkong emas bernilai $1,000,000 akan digugurkan.
Pemain bagaimanapun mesti berhati-hati untuk mengelakkan diri mereka daripada terkena bom.
Ini kerana bagi setiap kali mereka terkena bom, tambahan umur setahun akan dimasukkan kepada pemain dan seseorang dipaksa untuk "bersara" pada usia 99 tahun.