Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar: Kuasa raja 1948 sekadar di kertas
Diterbitkan:  Sep 15, 2011 6:24 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari hari ini menolak pendapat ahli akademik terkenal Prof Datuk Ramlah Adam berhubung kuasa raja selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Katanya, berdasarkan kerangka perjanjian itu dan konteks raja berperlembagaan, raja sebenarnya sekadar formaliti dan mula kehilangan peranan.

NONE "Contohnya, meskipun perlantikan menteri besar adalah kuasa mutlak sultan, ada sejarahwan yang mencatat bahawa Umno mendesak supaya para pemimpin mereka dilantik ke jawatan itu.

"Fenomena itu tidak mengejutkan kerana Umno berjaya menggembleng Orang Melayu menentang Malayan Union dan raja-Raja terhutang budi kepada mereka," kata Dr Abdul Aziz ( kanan ).

Ramlah semalam ketika mempertahankan status polis semasa tragedi Bukit Kepong berkata, selepas 1948, British benar-benar menjadi penasihat raja-raja Melayu dan arahannya tidak mesti diikuti, berbeza ketika Perjanjian Pangkor dimeterai pada 1874.

Katanya, British juga membuat perjanjian bertulis dengan raja-raja Melayu yang mengakuinya ketua negeri masing-masing dan berkuasa melantik menteri besar dan pegawai kerajaan.

ramlah adam 150911 Menurut Ramlah ( kiri ), selepas Malayan Union ditolak dan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk, raja-raja Melayu dipulangkan kuasa mentadbir negeri dan jajahan takluknya, kecuali Kuala Lumpur yang masih bawah British.

Dr Abdul Aziz juga menolak pendapat Ramlah yang dikatakan dibuat tiga bulan lalu dalam seminar di Brunei bahawa bawah perlembagaan sekarang Agong dan Raja-Raja begitu berkuasa.

Status Kuala Lumpur

"Dia bawa macam-macam peruntukan perlembagaan sebagai bukti. Yang anehnya dia semacam tidak menyedari bahawa peruntukan-peruntukan itu perlu difahami dalam konteks raja berperlembagaan.

"Maksudnya di atas kertas memang raja nampak begitu gagah dan berkuasa sekali. Tetapi kenyataannya raja hanya mengikut nasihat.

"Dan malangnya dalam hal-hal yang raja ada kuasa pun kita tak nampak apa-apa yang siginifikan," katanya kepada Malaysiakini.

azlan Sebagai contoh, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, boleh dilihat dalam bidang agama yang secara peribadi kuasa raja.

Sementara itu, Dr Abdul Aziz turut mempersoalkan hujah Ramlah bahawa kuasa mentadbir negeri dipulangkan kepada raja pada turut 1948, kecuali Kuala Lumpur yang masih bawah British.

"Bukankah KL waktu itu di bawah Selangor? Tapi dia kata Sultan berkuasa semula di bawah perjanjian 1948.

"Pelik. Macam mana British boleh berkuasa di tempat yang dimiliki oleh sultan? soalnya lagi.

zainal kling Polemik berhubung status Tanah Melayu ketika tragedi Bukit Kepong pada tahun 1950 timbul apabila pada 9 September lalu, Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara Datuk Dr Zainal Kling ( kiri ) berkata, kecuali tiga Negeri Selat, Tanah Melayu " tidak pernah terjajah ", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi British.

Ia lanjutan kenyataan kontroversi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada 21 Ogos yang berkata, penyerang balai polis Bukit Kepong Mat Indera wira sebenar dan bukan "polis British".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS