Ahli akademik pro-Umno Datuk Ramlah Adam menegaskan, polis yang berkhidmat ketika tragedi Bukit Kepong bukan polis British, sebaliknya berkhidmat dengan negeri Melayu yang berdaulat.
Katanya, pada zaman itu, British benar-benar menjadi penasihat kepada raja-raja Melayu dan arahannya tidak lagi mesti diikuti, berbeza dengan keadaan ketika Perjanjian Pangkor dimeterai pada tahun 1874.
"British buat perjanjian bertulis dengan raja-raja Melayu bahawa mereka ketua negeri masing-masing. Dan bila dilantik menteri besar, yang lantik menteri besar sultan, yang lantik pegawai kerajaan sultan.
"British hanya British adviser (penasihat British). Buat kali pertamanya British adviser memang betul-betul adviser , berbeza dengan Perjanjian Pangkor 1874 yang ditulis bahawa nasihat itu mesti diikuti," katanya.
Bercakap dalam forum Mat Indera di Kuala Lumpur malam tadi, Ramlah berkata, selepas orang Melayu menolak Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada tahun 1948, raja-raja Melayu dipulangkan kuasa mentadbir negeri dan jajahan takluknya.
"Hanya Kuala Lumpur bawah British (ketika itu)," tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, dakwaan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bahawa polis pada masa itu bekerja untuk British dan Tunku Abdul Rahman pegawai British "sangat salah".
"British hanya berkuasa dalam pentadbiran, bukan kedaulatan. Ini kejayaan Melayu terbesar, tolak penguasaan British melalui Malayan Union," katanya.
Polemik
Turut menjadi ahli panel anak pengasas Umno Datuk Onn Jaafar yang bernama Datuk Jaafar, bekas pengarah polis Cawangan Khas Datuk Zulkifli Ab Rahman dan Presiden Majlis Perunding Melayu (MPM) Kolonel Prof Datuk Dr Kamarudin Kachar.
Polemik berhubung status Tanah Melayu ketika tragedi Bukit Kepong pada tahun 1950 timbul apabila pada 9 September lalu, Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Dr Zainal Kling ( kiri ) berkata, kecuali tiga Negeri Selat, Tanah Melayu " tidak pernah terjajah ", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.
Ia lanjutan daripada kenyataan kontroversi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada 21 Ogos yang berkata, penyerang balai polis Bukit Kepong Mat Indera wira sebenar dan bukan "polis British".
Manakala Onn dan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman didakwa pegawai British.
Jaafar ketika pembentangannya mengambil peluang bercerita pengalaman mendengar cerita kekejaman komunis daripada orang ramai yang mengadu kepada bapanya (ketika itu pegawai daerah Batu Pahat).
Jaafar ( kanan ) ketika itu masih berumur belasan tahun.
Katanya, dari cerita yang didengar dengan telinga sendiri, pengganas komunis membunuh, mengikat berhari-hari, malah mengunci dan membakar orang tidak berdosa dalam rumah sendiri.
Bekas SB: Mat Sabu bukan komunis
Jaafar berkata, orang Melayu, antaranya daripada kumpulan Selendang Merah Sabilillah membalas dengan menyerang peniaga Cina di pekan-pekan tetapi dihalang bapanya.
"Bapa saya pesan, jangan bunuh orang yang tidak berdosa," katanya sambil mendedahkan Onn pernah menemui Bintang Tiga di Batu Pahat bagi memberi amaran supaya tidak mengganggu orang Melayu.
Mengaitkan dengan keadaan semasa, Jaafar yang juga bekas pegawai tentera menyifatkan tafsiran Mohamad sebagai ancaman apabila menganggap pengganas komunis wira dan "kita pesuruh British".
Sementara itu, Zulkifli pula membangkitkan persoalan tentang siapakah yang menyogokkan idea Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan sebenar kerana beliau yakin pemimpin PAS itu bukan komunis.
"Siapa yang perkenal idea ini kepadanya?" soal Zulkifli ( kanan ).
Beliau juga berkata, berdasarkan penulisan semasa yang cenderung kepada golongan kiri menunjukkan gaya yang hampir sama, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia dirancang.
"Soalnya dirancang oleh siapa?" soalnya lagi sambil mendakwa fahaman itu kini mula meresap di kampus-kampus di kalangan golongan terdidik.
Sementara itu, Kamarudin pula menjadi ahli panel paling mencuri tumpuan tampil apabila menempelak keras Mohamad dalam ucapannya yang berapi-rapi.
Kamarudin: Lanyak!
Sejurus memulakan ayat pertama dengan bertempik perkataan "lanyak", Kamarudin berdiri dan mundar mandir di hujung pentas dan bukan di rostrum sambil memberikan amaran kepada Mohamad.
"Kalau jumpa Mat Sabu, yang pertama saya hendak tempeleng dia," katanya sambil disambut tepukan gemuruh peserta yang rata-ratanya orang Melayu.
Beliau juga menggelar Mohamad sebagai meletakkan otak di kepala lutut, "robot DAP dan PKR", celupar dan kurang ajar - yang menyebabkan beliau mahu "merebusnya" hidup-hidup.
Kamarudin ( kiri ) yang juga pegawai askar Wataniah berkata, sekiranya komunis berjaya dalam perjuangan, Mohamad tidak akan menjadi timbalan presiden PAS dan parti Islam itu tidak akan menjadi parti politik kerana "komunis antiagama".
Beliau juga mengingatkan pengorbanan ratusan ribu tentera Melayu dan keluarganya yang menderita akibat melawan komunis menjelang kemerdekaan sebelum ini.
"(Seramai) 200,000 askar dan polis kita derita. Panggil dia (Mohamad) kalau berani.
"Celaka!" katanya bersemangat yang menyebabkan hampir semua peserta bangun daripada tempat duduk dan memberikan tepukan.
Di sebalik ucapan berapi-api, Kamarudin turut ketawa antaranya apabila mendakwa pernah menuntut ilmu kebal di Rawang dan pernah kebal selama empat tahun.