Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Takkan makan karipap pun rahsia parti'
Diterbitkan:  Jun 20, 2011 3:02 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Anggota jawatankuasa pusat PAS Khalid Samad menyelar pihak yang mendakwanya mendedahkan rahsia parti dengan menceritakan perjalanan mesyuarat yang membincangkan pelantikan pesuruhjaya PAS Selangor.

Katanya, beliau mengambil tindakan itu untuk menzahirkan proses dan sikap semasa bermesyuarat, termasuk keterbukaan pemimpin tertinggi PAS, supaya dicontohi semua peringkat.

orange book forum klscah 250111 khalid samad "Janganlah menganggap cara kepimpinan Islam adalah aladiktator atas alasan wala (kesetiaan) yang tidak dapat difahami maksud yang sebenar; atau di atas alasan 'sami'na wa ata'na' (kami dengar dan kami taat) yang sebenarnya bertujuan untuk menutup pintu perbincangan dan syura," katanya.

Secara sinis, Khalid ( kiri ) bertanya, sekiranya beliau bercerita tentang makanan dan minuman semasa mesyuarat pun dikira rahsia parti.

"Kalau saya menceritakan kepada seseorang, 'semasa mesyuarat tadi saya minum kopi bersama dua ketul karipap, adakah itu menjadi rahsia parti?" soalnya.

Pada 14 Jun lalu, Khalid mendedahkan cadangan menggugurkan exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali sebagai pesuruhjaya PAS Selangor dibuat oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan dan tiga naib presidennya sendiri.

pas muktamar voting 030611 Menurutnya, mesyuarat pertama pada petang 12 Jun lalu hanya membincangkan cadangan kesemua pemimpin utamanya yang dibuat pada pagi hari yang sama.

Menulis dalam blognya semalam, Khalid menyuarakan kehairanannya dengan sikap sebegitu kerana pihak terbabit "membaca tetapi tidak dapat memahami".

"Seolah-olah pemikiran dan hati mereka telah diselubungi kegelapan atau kebencian sehinggakan tidak dapat melihat pengajaran yang terkandung disebalik tulisan saya itu.

"Bagaimanapun, majoriti yang membaca kisah yang dipaparkan, jelas dapat melihat bagaimana proses perbincangan dan syura yang diamalkan dalam PAS," katanya.

Khalid juga menjelaskan tulisannya sebelum ini menjelaskan perbincangan itu dibincang secara tertib dan terbuka dan tiada cantas mencantas dan suasana berpuak-puak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS