Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Gugur Hasan Ali cadangan pemimpin utama PAS'
Diterbitkan:  Jun 15, 2011 11:32 AM
Dikemaskini: 5:11 AM

Cadangan menggugurkan exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali sebagai pesuruhjaya PAS Selangor dibuat oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan dan tiga naib presidennya sendiri.

Anggota jawatankuasa pusat PAS Khalid Samad mendedahkan, mesyuarat pertama pada petang 12 Jun lalu hanya membincangkan cadangan kesemua pemimpin utamanya yang dibuat pada pagi hari yang sama.

"Presiden bersama T azlan P (timbalan presiden) dan tiga NP (naib presiden) telah bermesyuarat di sebelah pagi dan cadangan mereka berhubung kesemua pelantikan tersebut akan dikemukakan untuk persetujuan mesyuarat penuh AJK pusat.

"Yang pasti, bermacam jenis andaian telah kedengaran, ada yang menggambarkan perubahan menyeluruh bakal berlaku, ada juga yang menggambarkan tiada rombakan sama sekali," katanya menjelaskan situasi ketika itu.

Menulis dalam blognya semalam, Khalid menjelaskan, sebelum cadangan itu dibincangkan jawatankuasa pusat, beliau tidak terlibat sama kerana diarahkan keluar selama 15 minit bersama Dr Hasan.

"Kami berdua pun terus bangun dan keluar. Sambil berjalan keluar sempat juga saya bertanya secara berseloka, 'Eh, saya bukan calon PJ (pesuruhjaya), kenapa pula saya juga kena keluar?'

"Soalan saya hanya dijawab dengan gelak ketawa oleh yang lain," coretnya dalam artikel berjudul "Yang Tercantas dan yang Dicantas".

Pasti dituduh

Justeru, beliau menafikan berhajat merebut jawatan itu dan akan menolaknya jika ditawarkan.

"Tambahan pula sekiranya berlaku perubahan dan saya menjadi penggantinya, sudah pasti saya akan dituduh menjatuhkan yang lama untuk menjadi yang baru, sedangkan saya tidak pernah pun bercita-cita sebegitu.

azlan "Apa yang saya inginkan hanyalah peluang untuk menegur perkara yang saya fikirkan tidak betul," katanya.

Khalid sebelum ini dilaporkan bergeser dengan Dr Hasan yang membawa kepada pengguguran jawatannya sebagai timbalan pesuruhjaya PAS Selangor.

Walaupun menyambut baik pertukaran itu atas banyak sebab - antaranya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 - Khalid menolak gesaan supaya jawatan exco kerajaan negeri yang disandang Dr Hasan turut digugurkan.

"Saya ingin menyatakan di sini, bahawa jawatan exco tersebut amat perlu dikekalkan, sepertimana kehendak Datuk Seri presiden (PAS).

"Ini kerana mereka akan terus menyumbang ke arah pengukuhan PAS serta kemampuan PAS bersama Pakatan Rakyat untuk mencapai kemenangan gemilang di dalam pilihan raya ke 13," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS