Peguam Negara hari ini gagal hadir ke sesi pendengaran jawatankuasa disiplin berhubung aduannya keapda peguam Shamsul Iskandar Md Akin yang juga ketua Pemuda PKR.
Menurut Shamshul Iskandar, wakil dan saksi Abdul Gani Patail juga tidak hadir.
"Pendengaran pertama pada 16 April dan ketika itu wakil peguam negara hadir dan menerima notis bahawa sesi itu akan disambung hari ini dengan pihaknya mengemukakan bukti," katanya ketika dihubungi.
Pengerusi Tribunal Siasatan Suraj Singh memutuskan meneruskan sesi itu walaupun tanpa kehadiran pihak berkenaan.
Peguam negara membuat laporan dan aduan mengenai Shamsul Iskandar pada 12 April 2010, setahun selepas ucapannya berhubung pengambilalihan kerajaan Perak menjelang pilihan raya kecil Penanti pada 30 Mac 2009.
Kes antara bekas bekas menteri besar Nizar Jamaluddin dan penggantinya Zambry Abdul Kadir masih berjalan.
Aduan itu dibuat bawah Seksyen 99(a)(2) Akta Profesion Undang-undang 1976 yang menetapkan bahawa mahkamah, hakim, majistret atau Peguam negara boleh mengadapkan seorang peguam kepada lembaga disiplin.