Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Poster Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Baru Bian yang diketengahkan sebagai "bakal ketua menteri Sarawak" didakwa diedarkan di kawasan majoriti Melayu-Melanau selepas perkara itu diumumkan Pakatan Rakyat kelmarin.

NONE Naib Ketua Pemuda PKR Azmizam Zaman Huri mendakwa, tindakan itu bertujuan menakut-nakutkan pengundi kelompok itu memandangkan ketua menteri sekarang, Tan Sri Abdul Taib Mahmud adalah dari kalangan mereka.

"Poster ini tidak ditampal tetapi diedarkan terus ke tangan pengundi dari rumah ke rumah," jelas Azmizam sambil mendakwa ia diedar di hampir semua kawasan Melayu-Melanau.

Poster biru muda berukuran tabloid itu memaparkan Baru sedang tersenyum dengan tulisan "Baru Bian calon ketua menteri Pakatan Rakyat" tertera di atasnya.

Sementara itu, calon PKR di Satok Ahmad Nazib Johari mendakwa mengesan poster itu di sekitar perkampungan Melayu di Petrajaya dan Jalan Keretapi di Batu Kawa kira-kira seguni banyaknya.

Sambil mendakwanya sebagai taktik kotor BN, Ahmad Nazib yakin ia tidak akan memberi kesan kepada pengundi.

"Jika kita lihat, poster itu tidak serius. Kita faham sensitiviti Melayu, ia tidak berkesan. Itu kempen kotor. Gambarnya pun tidak cantik," katanya yang mengaku terpaksa menyentuh isu itu di ceramahnya.

Sementara akhbar tempatan Utusan Borneo hari ini melaporkan, poster yang sama sama ditemui di sekitar kawasan Gita, dalam DUN Tupong.

Poster yang sama setakat ini belum dikesan di lima kawasan Melayu di mana PAS bertanding, jelas setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali.

Kelmarin, pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dilaporkan bersetuju melantik Baru yang berbangsa Orang Ulu sebagai pengganti Taib sekiranya Pakatan Rakyat menumbangkan BN.

Tujuh kerusi, semuanya di kawasan tengah Sarawak, mempunyai majoriti masyarakat Melanau. Statistik rasmi bagaimanapun mencantumkan Melanau dengan masyarakat Melayu, menjadikannya sebanyak 27.5 peratus daripada keseluruahn pengundi, sekalig gus mendominasi 26 kerusi.

ADS