Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebagai tanda bantahan terhadap majikannya, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari hari ini membuka 'pejabat' sendiri di depan ibu pejabat Utusan Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pejabatnya itu hanyalah sebuah meja plastik kecil warna biru dan sebuah kerusi kecil.

Di atasnya terdapat sebuah laptop, kamera kecil dan papan tanda bertulis "Wartawan Sedang Bertugas".

Dan kakitangannya cuma beliau seorang.

azlan Bagi Hata, tindakannya itu sebagai membantah tindakan Utusan menggantung kerjanya, sedangkan beliau belum dibuktikan bersalah.

"Saya baru dituduh, belum lagi dibuktikan. Ini tidak adillah," kata wartawan kanan yang telah berkidmat 15 tahun di akhbar milik Umno itu.

Tindakan Hata itu dilihat mengotakan janjinya yang hendak membuka "kaunter aduan" di depan pejabat Utusan ekoran penggantungan kerja terhadapnya yang masih tidak pasti tempoh dan sama ada bergaji atau tidak.

Ketika dihubungi Malaysiakini , Hata berkata beliau akan terus 'berkubu' di depan pintu masuk Utusan setiap hari bagi menyatakan bantahannya.

"Saya duduk dari situ pukul 10 pagi, lihat internet, tanya masalah ahli..," katanya.

Hata mengakui tindakannya itu menarik perhatian segelintir wartawan akhbar itu, yang antaranya sempat singgah dan bertanya apa yang berlaku.

Justeru, tambahnya, peranannya hari ini lebih kepada memberi penjelasan.

Kehidupan harian

Ditanya sama terdapat gangguan pengurusan atau keselamatan Utusan akhbar itu, Hata berkata:

"Polis bantuan ada juga tengok-tengok, tetapi tidak ada buat apa-apa. Tengoklah nanti, kalau meja ini tidak hilang, OK lah."

Sementara itu, walaupun digantung tugas, Hata juga berazam akan meneruskan kehidupan sebagai wartawan seperti biasa.

NONE "Saya akan pergi assignment (tugasan). Saya akan tulis laporan dan hantar," katanya sambil memberitahu 'tugasan' pertamanya selepas digantung adalah menghadiri sesi penerangan parti pimpinan Datuk Zaid Ibrahim, KITA esok.

Hata dituduh menyindir pengurusan Utusan serta memburukkan imej syarikat berikutan komennya dalam pelbagai portal berita dan akhbar, termasuk Malaysiakini.

Semalam siasatan dalaman yang didaualkan terhadap Hata oleh Utusan Malaysia ditangguhkan atas alasan teknikal.

Pada prosiding di Pusat Latihan Utusan itu, beliau diiringi Setiausaha NUJ V Anbalagan dan wakil daripada NUJ cawangan akhbar itu.

Bagaimanapun, selepas menghabiskan 20 minit, pengerusi inkuiri Mohd Basir Abdul Rahim menamatkan sesi itu bagi membuat keputusan berhubung kesesuaian Anbalagan dipilih mewakili Hata.

"Kami tidak tahu berapa lama (ditangguh) tetapi kami akan dimaklumkan oleh mereka (Utusan) kemudian," kata Hata dalam sidang media selepas itu.

Pendekatan berbeza

Selepas dipilih menjadi presiden baru NUJ, Hata membawa pendekatan berbeza berbanding penyandang sebelumnya Norlela Daud yang lebih 'diam'. Kesatuan itu mempunyai keanggotaan daripada kira-kira 1,300 wartawan.

NONE Pandangan dan kritikan terbukanya - seperti isu pemilikan Umno, kejatuhan edaran akhbar dan 'kelemahan' pengarang Utusan - dilihat meresahkan banyak pihak, sehingga akhbar itu, memetik pihak tertentu, dilapor mempersoal sama ada Hata penyokong tegar pembangkang.

Jika dipecat, Hata bukan wartawan pertama dari Utusan yang akan menerima nasib sedemikian. Ini kerana pada 3 September 2009, Utusan turut menjalan siasatan, seterusnya memecat Presiden NUJ cawangan Utusan Amran Ahmad selepas didapati bersalah menfitnah syarikat itu susulan aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS