Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari kini berkira-kira membuka gerai nasi lemak dekat rumahnya di Puchong dan kaunter aduan di depan pejabat Utusan Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur.
Ini ekoran penggantungan kerja terhadapnya masih tidak pasti tempohnya dan sama ada bergaji atau tidak.
"Saya tidak pasti, saya kena tunggu dan lihat hingga hujung bulan ini untuk lihat sama ada mereka masukkan gaji saya atau tidak. Jika tidak saya kena pergi ke Jabatan Buruh.
"Oleh kerana saya tiada apa hendak dibuat dan tidak bergaji, saya berkira-kira membuka gerai nasi lemak," kata wartawan kanan akhbar milik Umno itu sambil ketawa.
Dilarang menjejakkan kaki di pejabat Utusan, Hata juga merancang mahu memasang khemah kecil di depan pintu masuk harian berbahasa Melayu itu.
"Saya akan letak khemah kecil di sini dan duduk dengan laptop saya. Saya akan buka kaunter aduan untuk wartawan.
"Saya juga boleh adakan mesyuarat dengan NUJ cawangan Utusan di sini," kata Hata kepada Malaysiakini sebelum siasatan dalaman terhadapnya bermula pagi tadi.
Hata menambah, NUJ Utusan juga merancang mengadakan pameran memperingati ulang tahun ke-50 Mogok Utusan pada tahun 1961 untuk menentang pengambilalihan Utusan oleh Umno.
"Kami akan langsungkannya atas jalan depan Utusan, sebab di jalan inilah demonstrasi berlaku.
"Utusan pernah di barisan depan mengamalkan kewartawanan yang adil dan berimbang, hinggalah pengambilalihan. Kami mahu lihat semula 50 tahun dulu sejak para wartawan disenyapkan.
Nasib Hata kini dijangka mengikuti jejak langkah teman seperjuangannya Amran Ahmad - bekas presiden NUJ Utusan yang dipecat selepas didapati bersalah oleh siasatan dalaman akhbar itu.