Perlantikan bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi FELDA yang baru disambut sinis oleh PAS.
Ketua penerangannya Idris Ahmadn ( kiri ) berkata, mereka hairan, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terkenal dengan pelbagai slogan perubahan, tiba-tiba melantik Isa yang pernah disabitkan dengan rasuah pada tahun 2005 oleh Lembaga Disiplin Umno sendiri.
"Pemilihan ini menggambarkan Datuk Seri Najib seolah-olah tidak nampak (calon lain) di kalangan ahli Umno seramai 3.5 juta orang, melainkan beliau hanya nampak insan yang bernama Tan Sri Isa Samad sahaja.
"Apa rahsianya beliau dipilih hanya Allah dan Datuk Seri Najib sahaja yang tahu," kata Idris lagi.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan lantikan itu berkuatkuasa pada 1 Januari 2011.
Pelantikan itu dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Isa untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang dan efektif.
Isa menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang dilantik sebagai penasihat kepada menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA. Pelantikan ini juga berkuatkuasa pada 1 Januari 2011.