Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pejabat PM umum lantikan Isa Samad
Diterbitkan:  Dec 27, 2010 3:12 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berkuatkuasa pada 1 Jan 2011.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini pelantikan itu dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Mohd Isa untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang dan efektif.

Mohd Isa menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA. Pelantikan ini berkuatkuasa pada 1 Januari 2011.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Yusof di atas perkhidmatan beliau menerajui FELDA bermula dari 1 Julai 2001 hingga 31 Dis 2010.

Di bawah kepimpinan Mohd Yusof, FELDA telah mengalami transformasi membanggakan serta menempa pelbagai kejayaan, sekali gus menjadi penyumbang ekonomi negara, menurut kenyataan itu

Mohd Isa, yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari 1982 hingga 2004, merupakan bekas menteri Wilayah Persekutuan dan bekas naib presiden Umno.

Beliau merupakan ADUN Bagan Pinang dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang Negeri Sembilan.

Beliau menang besar dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 11 Oktober 2009 mengalahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi.

--Bernama

ADS