Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, selain parti politik, dewan tertinggi BN hari ini juga meluluskan menerima mana-mana NGO, pertubuhan atau persatuan untuk menjadi ahli bergabung dalam parti itu.
"Ini adalah outreach kita kepada yang ingin bekerjasama dengan perjuangan BN," kata pengerusi BN.
Bercakap dalam sidang media di Pusaat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, Najib bagaimanapun menegaskan bahawa peraturan atau keputusan tentang ahli bergabung akan diputuskan oleh dewan tertinggi BN selepas ini.
"Kita tidak tentukan di sini (kerana) kita mengambil kira pandangan parti komponen. Tapi keputusan hari ini adalah sebulat suara.
"Setiap masalah ditangani bersama dalam kaedah membuat keputusan dalam BN," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tertinggi BN.
Sementara itu, BN juga hari ini sebulat suara memutuskan memperkenalkan ahli bersekutu dalam parti itu, tetapi hak dan keistimewaan mereka tidak sama dengan keahlian melalui parti komponen.