Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun dewan tertinggi BN hari ini sebulat suara memutuskan memperkenalkan ahli bersekutu secara keahlian langsung dalam parti itu, tetapi hak dan keistimewaan mereka diputuskan tidak sama dengan keahlian melalui parti komponennya.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak, hak dan keistimewaan ahli bersekutu itu akan diputuskan kemudian oleh dewan tertinggi parti itu.

najib razak bn meeting 201110 "Sesiapa yang ingin, boleh memohon menjadi ahli bersekutu.

"Kita ingin memperlihatkan bahawa BN bersifat inklusif, (dasar) pintu terbuka kepada (sesiapa) yang percaya konsep perjuangan BN," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Kumpur hari ini.

Perdana menteri berkata perkara itu - sebagai sebahagian daripada pindaan perlembagaannya - antara beberapa keputusan bersejarah dalam gabungan 13 parti komponen itu.

Menurut Najib, ahli yang pernah menyertai pembangkang dan ingin menyertai BN sebagai ahli bersekutu, perkara itu akan ditentukan oleh dewan tertinggi BN.

Bagaimanapun, beliau yang juga ahli parlimen Pekan menegaskan tidak dibenarkan seseorang yang menjadi ahli parti kompenen dan keluar parti untuk menjadi ahli bersekutu.

barisan nasional bn 181110 Dalam sidang media itu juga,  Najib memberitahu, dewan tertinggi BN juga mahu memperkenalkan kelab sahabat BN kepada sesiapa sahaja yang ingin "menjadi sahabat" kepada BN.

Katanya dewan tertinggi juga mahu mewujudkan kelab rakan muda BN kepada golongan muda berumur 18 hingga 21 tahun "yang ingin menyokong dan menghayati perjuangan BN".

Najib berkata pindaan perlembagaan yang diputuskan berkuatkuasa hari ini dan akan dimaklumkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) selepas ini.

Mengulas mengenai konvensyen BN 28 November ini, Najib berkata persiapan berhubung majlis tersebut telah diatur.

Katanya tema persidangan tersebut berkisar sekitar konsep BN yang mendahului kepentingan rakyat dan selaras dengan tema konsep 1Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS