Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, PAS tidak perlu bimbang mengenai penambahan anggota sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) kerana anggota agensi itu sememangnya tidak layak menjadi pengundi pos.
Jelasnya, anggota berkenaan hanya layak menjadi pengundi awam, malah tidak layak memohon menjadi pengundi pos.
"Kenapa PAS kata ada pihak hendak daftar anggota RELA sebagai pengundi pos sedangkan perkara ini tidak akan berlaku. Kalau mereka (anggota tersebut) mohon pun tidak akan diterima.
"Mereka (PAS) tidak perlu bimbang kerana perkara itu tidak mungkin akan berlaku sebab sudah dinyatakan bawah Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ketua penerangan PAS Idris Ahmad seperti dilaporkan pada Selasa lalu mengenai penambahan seramai 300,000 orang anggota RELA di Selangor.
Idris berkata, keadaan itu dikhuatiri akan dijadikan satu agenda oleh BN untuk merampas kembali negeri itu "melalui taktik undi pos."
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata hanya anggota keselamatan dari pasukan polis, Pasukan Gerakan Am dan anggota tentera yang diiktiraf untuk mendaftar sebagai pengundi pos.
Jelasnya, SPR bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memastikan hanya anggota yang berkhidmat layak mendaftar sebagai pengundi pos.
"Sebaik saja dia sertai perkhidmatan, dia akan dapat kad pengenalan tentera dan kad pengenalan awam dia akan disimpan oleh JPN.
"Data ini semua dimasukkan ke dalam sistem komputer SPR. Kita akan dapat kenalpasti setiap pengundi pos berdasarkan kod tertentu pada nombor pengenalan (tentera atau polis) mereka.
"Jadi sesiapa pun tidak boleh menyamar menjadi pengundi pos," katanya lagi.
Tambahnya, urusan pendaftaran pemilih daripada angggota keselamatan ini ditadbir oleh pengarah bahagian rekod di Bukit Aman dan juga Kementerian Pertahanan yang dilantik sebagai penolong pendaftar SPR.