PAS berharap sasaran membuat penambahan mendadak anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) kepada 300,000 di Selangor menjelang 2011 tidak mempunyai kaitan dengan agenda BN yang didakwa cuba menawan Selangor melalui undi pos.
Ketua penerangan parti itu Idris Ahmad berkata angota pasukan itu tidak harus menjadi "tiket untuk mereka didaftar sebagai pengundi pos" dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.
"PAS memang meragui kewibawaan undi pos dalam setiap kali pilihan raya kerana ia adalah simpanan tetap BN.
"Sudah lama PAS menuntut undi pos dihapuskan kerana kita mempunyai bukti daripada bekas anggota tentera yang bertugas selama ini tidak tahu siapa yang undi kertas mereka," kata Idris ( kiri ).
Kelmarin, RELA Selangor dilaporkan mensasarkan peningkatan sekali ganda keahliannya untuk mencapai 300,000 orang menjelang akhir tahun ini berbanding 153,000 orang pada masa ini.
Pengarah RELA negeri Khairi Mohd Alwee dilaporkan berkata, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk menggerakkan Briged Muda RELA di kesemua sembilan daerah di negeri itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Idris memberikan teguran keras kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya "telus dan jangan menjadi tali barut BN" ketika mengendalikan urusan pilihan raya.
Katanya, sebelum ini, mengejutkan apabila 18,493 pemilih, khususnya di negeri Pakatan Rakyat, 'hilang layak undi awam' dalam rang daftar pemilih suku ketiga 2010.
"PAS menganggap ini adalah tindakan untuk mengepung supaya tembok Umno-BN tidak runtuh dan diserbu oleh Pakatan Rakyat di negara ini," katanya.
Sehubungan itu, Idris mengingatkan jentera pilihan raya PAS dan Pakatan di Selangor pada semua peringkat sentiasa mengambil berat berkaitan isu daftar pemilih serta memerhatikan senario pertambahan anggota RELA itu.
"Modus operandi untuk (BN) tawan Terengganu 2004 dahulu dengan menambah pengundi sedang berjalan di Selangor.
"BN terlalu mengidam Selangor, berbanding negeri-negeri lain, kerana Selangor lubuk emas dan balang oksigen Umno," kata Idris lagi.