Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semuanya bermula apabila Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor pada Mac 2008 apabila mereka hanya ditinggalkan laci-laci yang kosong, tanpa sehelai kertas pun.

"Kami tidak tahu hendak mula daripada mana. Kami tidak tahu apa yang telah berlaku. Ia ambil masa 3 bulan untuk (kerajaan negeri) pulih."

NONE Demikian cerita exco perlancongan Selangor Elizabeth Wong - yang mencadangkan diperkenalkan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) - tentang kepentingan maklumat kepada kerajaan dan orang ramai.

Sehubungan itu, tambahnya, ketika merampas Selangor daripada tangan BN bagi kali pertama dua tahun lalu, mereka telah bersungguh-sungguh berusaha bagi menunaikan janji yang dimuatkan dalam manifesto mereka.

Ini kerana, jelas Elizabeth, perkara itu telah dibincangkan sejak 2006 lagi dan dipersetujui sendiri oleh Tan Sri Khalid Ibrahim yang pada masa itu belum lagi menjadi menteri besar.

"Beliau (Khalid) tanya ada salinan (cadangan enakmen) dan mahukannya satu. Beliau beritahu, kalau ada peluang laksanakan, ini perkara pertama kita perlu buat bila ambil alih Selangor nanti.

Dokumen era BN

"Empat atau lima draf dibuat. Apa yang kita lihat ini sudah yang keenam. Kita ambil masa untuk susun ayat elok-elok sampailah penasihat undang-undang puas hati," kata Elizabeth yang juga bekas aktivis NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Kelmarin, Elizabeth membentangkan Rang Undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 bagi dikaji oleh Jawatankuasa Pilihan Khas DUN dan dijalankan satu perundingan awam.

azlan Keputusan - sama ada cadangan atau pindaan - bagi enakmen yang bertujuan mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam itu dijangka dibentangkan sekali lagi selewat-lewatnya pada April 2010.

Ketika diwawancara Malaysiakini di pejabatnya di Shah Alam semalam, Elizabeth menegaskan selepas undang-undang tersebut dikuatkuasakan - dijangka pertengahan 2011- kebanyakan maklumat, termasuk daripada era kerajaan BN akan boleh diakses oleh pelbagai pihak.

"Rekod pada zaman BN masih selamat. Semua dokumen selalu ada satu lagi set di jabatan-jabatan kerajaan," kata Elizabeth ketika ditanya tentang maklumat dan dokumen semasa pentadbiran BN yang didakwa tidak ditinggalkan kepada Pakatan ketika mengambil alih kerajaan.

Bagi tujuan itu, katanya, semua pihak yang berkenaan boleh menulis kepada pegawai maklumat yang dilantik - sekurang-kuranya seorang di setiap jabatan kerajaan - bagi mendapatkannya.

Mustahil audit semua di bumi S'gor

"Tetapi kalau kami menulis kepada kami dan minta laporan audit alam sekitar untuk semua benda yang berada di bumi Selangor ini, mungkin, kalau kami diberikan RM10 bilion dan 10 tahun untuk melakukan kajian," katanya berseloroh.

"Tetapi kalau ia sesuatu yang munasabah, kami akan berikannya. Bagaimanapun, pemohon perlulah beri kami sedikit masa untuk dapatkannya.

NONE Elizabeth berkata semua maklumat - kecuali yang dilindungi bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), melibatkan perjanjian kerahsiaan dengan pihak ketiga - berhak diketahui oleh semua orang.

"Kami (kerajaan) tiada apa-apa untuk disembunyikan. Ini hak rakyat. Kita hendak rapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat.

"Sekarang ini ada tanggapan negatif seolah-olah kerajaan bergerak secara rahsia. Ia jelas menjadi masalah yang besar.

"Kalau hal ini berterusan, keyakinan rakyat akan hilang dan munculkan keadaan anarki," jelas Elizabeth lagi.

Lagi tentang FOI: Public can demand undocumented data


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS