Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
M’sia naib juara Piala Dunia Hoki 5s, PM puji kejayaan ‘luar biasa’
Diterbitkan:  Feb 1, 2024 2:07 PM
Dikemaskini: 10:37 AM
  • Dikemas kini dengan tambahan reaksi jurulatih dan PM.


Malaysia terpaksa berpuas hati dengan status naib juara pada edisi sulung Piala Dunia Hoki 5 sebelah (5s) 2024 selepas tewas 2-5 kepada Belanda pada perlawanan akhir, awal pagi Khamis.

Pada aksi di Hockey Oman Venue itu, Belanda mendapat jaringan awal pada minit pertama 

menerusi jaringan Van Der Drift Yannick.

Bagaimanapun Malaysia hanya memerlukan 45 saat untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook, lapor Bernama.

Belanda, yang juga juara Eropah, melebarkan jurang menerusi jaringan gol padang Reyenga Pepijn pada minit keenam dan Drift Yannick (minit ke-13) untuk mendahului 3-1 menjelang waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Muhammad Firdaus Omar merapatkan jurang buat skuad kendalian Wallace Tan menerusi jaringan minit ke-16.

Namun Belanda muncul juara sulung Piala Dunia 5s apabila Sander de Wijn (minit 26) dan Jamie van Aart (minit 28) masing-masing menjaringkan satu gol.

Malaysia mara ke pentas akhir selepas mengalahkan Poland 4-3 pada peringkat separuh akhir, manakala Belanda menewaskan tuan rumah Oman 5-3.

Oman meraih gangsa selepas menewaskan Poland 3-2 pada aksi penentuan tempat ketiga-keempat.

Pencapaian tertinggi - jurulatih

Sementara itu, ketua jurulatih skuad hoki 5s lelaki kebangsaan Wallace Tan berkata kejayaan semalam merupakan pencapaian tertinggi sukan hoki negara.

Katanya, pemain telah mengerah segala usaha namun terpaksa akur dengan kehebatan Belanda.

 “Untuk pentas Piala Dunia, ini merupakan satu pencapaian tertinggi dan terbaik untuk hoki Malaysia,” katanya dalam video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada media.

Anwar: Teruskan aksi luar biasa

Sementara itu, kejayaan pasukan negara turut mencuri perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Tahniah kepada pasukan hoki 5 sebelah negara yang menjadi naib juara Piala Dunia Hoki 5 sebelah lelaki di Muscat, Oman.

"Terus pamerkan kesungguhan dan aksi luar biasa dalam setiap kejohanan yang disertai selepas ini,” kata Anwar di media sosialnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS