Jika semalam saling membidas di alam maya disusuli pertarungan pasukan masing-masing di padang bola, hari ini, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bernada lebih santai berkongsi kiriman yang diterima dari Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu memberitahu berkenaan kiriman bunga dan set makanan segera yang diterimanya daripada pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu di Facebooknya.
“Menjunjung Kasih TMJ HRH Crown Prince of Johor atas kiriman bunga dan McD (McDonald's).
“Hari Khamis ni kita berentap lagi, kalah, seri atau menang adalah adat perlawanan. Kasi panas line tu wajib laaa,” tulis Sanusi.
Dia turut berkongsikan gambar jambangan tiga kuntum mawar merah dengan kad tertulis “Dengan ingatan tulus ikhlas, dari TMJ”, serangkai belon serta set makanan segera yang diterimanya.
Semalam, kedua-duanya berbalas kenyataan, bermula dengan sindiran Tunku Ismail berhubung isu tunggakan gaji pasukan Kedah, yang mempersoalkan apakah ia hanya akan dibayar jika bertemu dengan JDT.
Perkara itu dinafikan Sanusi dalam sidang media, menyatakan bahawa Kedah membayar gaji pemainnya.
Malam tadi, Kedah dan JDT buntu di padang apabila seri tanpa jaringan, dalam aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman.
Kedua-dua pasukan dijadualkan melangsaikan kebuntuan mereka dalam suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada 18 November nanti.