Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Akhyar pilih JDT adalah tepat – Khalid Ali

Perpindahan bintang muda negara, Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah tepat bagi mengembangkan bakatnya. 

Perkara itu dipersetujui bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali yang berpendapat bahawa sebagai pemain bola sepak Muhammad Akhyar perlu mencari pasukan yang boleh menjamin masa depannya.

"Ini liga profesional, semua kena terima hakikat. Semua kena terima perpindahan ini. Karier sebagai pemain bola sepak boleh dikatakan tidak berpanjangan, setakat 10 hingga 13 tahun sahaja. Jadi mereka kena cari satu tempat yang boleh menjamin satu masa depan yang cerah.

"Mereka kena cari 'tempat' terbaik, gaji yang baik, yang boleh menampung di hari tua nanti. JDT adalah satu tempat yang boleh memberi masa depan cerah kepada pemain bola sepak.

"Kita tidak boleh nafikan JDT adalah satu tempat idaman pemain Malaysia kerana adanya fasiliti yang lengkap, yang boleh bawa pemain ke peringkat lebih tinggi," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Skim Bantuan Khas Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di Majlis Sukan Negara, hari ini.

Dalam masa sama, Khalid berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bertegas dalam undang-undang melibatkan perpindahan pemain bola sepak.

Katanya, undang-undang yang ada kini agak longgar dan jika ia diteruskan serta tidak diperketatkan, arena bola sepak negara akan terus dihujani dengan isu perpindahan pemain.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan telah mengikat kontrak selama empat tahun dengan pemain muda dari pasukan Kedah itu walaupun kontrak Muhammad Akhyar dengan pasukan Kedah hanya akan berakhir pada 31 Nov ini.

Isu membabitkan perpindahan pemain muda negara itu terus berpanjangan selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dilihat enggan melepaskan pemain sayap lincah itu kepada JDT dan menegaskan Muhammad Akhyar masih milik mereka.

Malah, KFA bertegas akan membawa kemelut ini ke pengetahuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi menuntut hak ke atas pemain berusia 19 tahun itu.

Tindakan Muhammad Akhyar untuk berhijrah meninggalkan Kedah tidak salah kerana statut FAM dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) jelas tidak menghalang pemain dengan syarat harus membayar baki kontrak kepada pasukan asal dan kontrak yang ditandatangani Muhammad Akhyar juga membenarkan dia untuk berbuat demikian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS